GEORGE TOWN – Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim menyatakan hasrat agar sesi libat urus berhubung cadangan penjimatan di bawah I-Sejahtera dapat memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini secara adil dan menyeluruh.
Menurut beliau, sesi tersebut penting dalam mengimbangi perbelanjaan negeri pada masa sama tetap memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.
“Saya berharap sesi ini dapat berlangsung dalam suasana keterbukaan dan semangat tanggungjawab bersama. Kita mungkin mempunyai pandangan yang berbeza, namun kita kena sama-sama memastikan bahawa apa jua keputusan yang bakal diambil kelak adalah demi kebaikan rakyat secara adil dan menyeluruh.
“Justeru itu, saya mengalu-alukan sebarang cadangan, sama ada menyokong atau sebaliknya terhadap inisiatif penjimatan ini.
“Saya percaya, walaupun sukar, bersama-sama kita mampu mencari jalan ke hadapan yang lebih mampan dan bermakna,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang hadir menyempurnakan sesi berkaitan yang diadakan di Auditorium Komtar dekat sini pagi ini.
Hadir sama, ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze; para Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) serta Ahli-ahli Majlis pihak berkuasa tempatan dan wakil Majlis Pengurusan Komuniti dan Kampung (MPKK) terlibat.
Terdahulu, pada sesi libat urus yang dianjurkan oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) itu, para hadirin melontarkan pelbagai idea dalam menambah baik pelaksanaan Program I-Sejahtera Tahun 2025.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pernah mengesyorkan supaya mengadakan satu sesi libat urus berkaitan pelaksanaan I-Sejahtera selepas tamatnya sesi libat urus Bajet 2026 pada 6 Mei lalu.
Program I-Sejahtera telah diwujudkan sejak tahun 2010, dan merupakan suatu sumbangan penghargaan kepada rakyat Pulau Pinang.
Terdapat enam program kebajikan yang telah diintegrasikan di bawah jenama I-Sejahtera merangkumi Penghargaan Warga Emas, Bantuan Ibu Tunggal, Suri Emas, Bantuan Orang Kurang Upaya, Anak Emas; dan sumbangan Pengurusan Jenazah.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SIEW CHIA EN