2,093 rumah The Rise S.P. Chelliah jangka siap Nov. 2019

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Pemajuan 2,093 unit rumah melalui agensi pelaksana Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan kerjasama pemaju, Zubicon Sdn. Bhd. (Zubicon) di atas sebidang tanah milik Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) berkeluasan 11.04 ekar dekat Jalan S.P. Chelliah di sini dijangka siap pada bulan November 2019.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri dengan kerjasama pihak pemaju sanggup membina rumah mampu milik di atas tanah bernilai tinggi dalam kawasan bandar George Town di sini sebenarnya demi memenuhi keperluan rakyat di negeri ini.

“Ini adalah lokasi yang paling baik, apa yang kita (Kerajaan Negeri) sebut sebagai ‘tanah emas’ di kawasan ini, bukan untuk meraih keuntungan, tetapi untuk membina rumah untuk rakyat.

“Pemaju (Zubicon) telah berjaya (dipilih) melalui tender terbuka untuk memperoleh projek ini atas kerjasama serta semangat perkongsian sektor awam dan swasta,” ujarnya pada Majlis Pecah Tanah Skim Perumahan Awam Dan Mampu Milik The Rise Di Jalan S.P. Chelliah di sini barubaru ini.

Ucapan Pengarah Urusan Zubicon Sdn. Bhd., Lim Beng Keong dibaca oleh jurucakapnya.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir), Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan), Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai turut hadir pada majlis tersebut.

Hadir sama, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim, Teh Lai Heng (ADUN Komtar), Lau Keng Ee (ADUN Pengkalan Kota), Soon Lip Chee (ADUN Jawi), Jeff Ooi Chuan Aun (Ahli Parlimen Jelutong), Ng Wei Aik (Ahli Parlimen Tanjung), Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus, Dato’ Mokhtar Mohd. Jait (Pegawai Kewangan Negeri), Dato’ Patahiyah Ismail (Yang di-Pertua MPPP) serta Datuk Rosli Jaafar (Pengurus Besar PDC).

Sebanyak 770 unit rumah kos sederhana rendah (KSR) berharga RM72,500 seunit akan dibina di Jalan S.P. Chelliah.

Selain itu, bilangan Rumah Mampu Milik pada harga jualan RM200,000, RM300,000 dan RM400,000 yang akan dibina di sini masing-masing berjumlah 883 unit, 165 unit dan 275 unit.

Dalam pada itu, Guan Eng turut merakamkan penghargaan kepada MPPP kerana sanggup menawarkan tanah bernilai tinggi tersebut untuk merealisasikan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR), melalui tender terbuka dengan kerjasama pemaju swasta.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, harga jualan semua rumah tersebut adalah garis panduan yang bukanlah ditetapkan Kerajaan Negeri, tetapi oleh Kerajaan Pusat di Putrajaya.

Pembinaan 2,093 rumah di Jalan S.P. Chelliah merupakan salah satu daripada 12 projek perumahan yang menjadi keutamaan Kerajaan Negeri hari ini, demi menyediakan 22,546 unit rumah meliputi kelima-lima daerah.

Lima projek utama tersebut di bahagian pulau Pulau Pinang adalah dekat Jalan S.P. Chelliah, Teluk Kumbar, Jelutong, Pintasan Cecil dan Sandilands.

Manakala, baki tujuh projek utama lain adalah di bahagian Seberang Perai, iaitu dekat Bandar Cassia, Kampung Jawa, Ampang Jajar, Bukit Mertajam, Juru, Mak Mandin dan Ujung Batu.