Ibu bapa, guru gembira sesi persekolahan 2026 kembali ke Januari

pix 1

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa kalendar akademik 2026 bermula pada 11 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026 bagi negeri Kumpulan A dan 12 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026 bagi negeri Kumpulan B.

Negeri Kumpulan A terdiri daripada Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Kumpulan B pula meliputi Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata kejayaan mengembalikan semula sesi persekolahan kepada bulan Januari dilaksanakan secara berperingkat dan tertib, tanpa mengganggu pengoperasian institusi pendidikan.

Fadhlina berkata, usaha terbabit menyerlahkan tekad KPM untuk terus memberi keutamaan kepada aspek kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah.

Kalendar Akademik Tahun 2026 boleh dimuat turun daripada portal KPM melalui pautan https://www.moe.gov.my/surat-siaran-kpm-bil-3-tahun2025-kalendar-akademi.

Susulan itu, Buletin Mutiara berkesempatan melakukan tinjauan umum untuk mendapatkan reaksi ibu bapa dan guru berhubung sesi persekolahan baru yang sebelum ini diubah kepada Mac sejak 2022 akibat pandemik COVID-19.

whatsapp image 2025 10 29 at 10.32.38
Siti Zubaidah Sabitah.

Guru pendidikan khas, SITI ZUBAIDAH SABITAH, 39 tahun berkata beliau menyambut baik keputusan tersebut yang dilihat akan memberi kesan positif terhadap perancangan guru, murid dan ibu bapa.

“Sebagai seorang ibu dan guru, sudah semestinya saya menyambut baik keputusan sesi persekolahan kembali ke Januari kerana dapat membantu menyelaras semula kalendar akademik negara.

“Langkah ini juga pastinya memberi kesan positif terhadap perancangan guru, murid dan ibu bapa,” katanya yang mempunyai dua orang anak yang masih di bangku persekolahan.

Penjawat awam, SAIPUL MEZAN ZAINI, 40, pula menyifatkan keputusan KPM adalah amat tepat dan telah memberi kelegaan kepada golongan ibu bapa.

whatsapp image 2025 10 29 at 13.05.51
Saipul Mezan Zaini.

Menurutnya, sesi persekolahan baru yang akan bermula pada Januari seperti sebelumnya akan membantu ibu bapa membuat perancangan pada hujung tahun dengan lebih teratur memandangkan anak-anak sedang bercuti ketika itu.

“Keadaan ini membolehkan kami ibu bapa dapat membuat persiapan khususnya dari segi kewangan untuk membeli kelengkapan sekolah seperti pakaian dan buku persekolahan yang biasanya disimpan secara bulanan dari awal tahun.

“Malah, pada pada bulan Disember juga pelajar-pelajar yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah tamat menduduki peperiksaan sebelum bermulanya penggal baharu,” katanya.

Saipul Mezan berkata, sesi persekolahan pada Januari juga akan memudahkan ibu bapa dalam membuat perancangan tahunan dari segi pencapaian akademik anak-anak termasuk menghantar ke kelas tuisyen, bersukan dan aktiviti kokurikulum

“Selain itu, kebanyakan ibu bapa yang bekerja akan merancang percutian pada akhir tahun untuk menghabiskan baki cuti dan sebagainya dan keadaan ini membolehkan waktu persekolahan anak-anak tidak akan terganggu.

“Paling penting, pada bulan Disember kadang kala berlaku banjir terutamanya di kawasan Pantai Timur, jadi lebih mudah sekiranya anak-anak sudah cuti ketika itu,” ujarnya.

whatsapp image 2025 10 29 at 11.48.12
Nur Azila Mazlan.

NUR AZILA MAZLAN, 32, berkata bahawa dia menerima baik keputusan tersebut kerana dapat menguruskan cuti seperti anak-anak mereka.

“Sebagai ibu bapa, kami lebih selesa dengan sesi persekolahan pada awal tahun kerana senang untuk membuat persiapan memandangkan kami juga perlu menghabiskan cuti rehat tahunan.

“Tambahan pula, anak-anak biasanya lebih bersemangat pada awal tahun dengan meletakkan azam tahun baharu mereka,” katanya ringkas.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS