IKEA jangka siap tempoh 5 tahun

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Projek bernilai RM484 juta di atas tapak berkeluasan 99.15 hektar di Batu Kawan, Seberang Perai Tengah (SPT) yang bakal menempatkan syarikat perabot terkemuka Sweden, IKEA dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

Projek mega melibatkan gabungan dua syarikat terkemuka Ikano Sdn. Bhd. (Ikano – syarikat francais bagi IKEA di Malaysia, Singapura dan Thailand) bersama syarikat tempatan Aspen Vision Land Sdn. Bhd. (Aspen) bakal dibangunkan sebagai sebuah pusat sehenti komersial dan bercampur-campur merangkumi sebuah pusat beli-belah, kawasan perumahan, kawasan perindustrian dan perkhidmatan serta hab logistik.

Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aspen, M. Murly pada lawatan sesi lawatan rasmi beliau terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini baru-baru ini.

Turut serta, Pengurus Projek (Pelaburan), Mikael Winqvist; Pengurus Reka Bentuk (Serantau), Tim Denoon; Penolong Pengurus Pembangunan, Edward Ng; Pengurus Besar Aspen, Ir. Woo Kok Weng; Pengerusi Aspen, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff; Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait dan Yang diPertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Shariff.

Tambah Murly, Batu Kawan dipilih bagi membangunkan cawangan IKEA ekoran lokasi tersebut amat strategik dan sedang rancak membangun sebagai sebuah pusat sehenti yang mesra pengguna dan mesra alam.

Dalam pada itu, Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri amat berbesar hati apabila IKEA memutuskan untuk membuka cawangan baharu mereka di Pulau Pinang.

“Hal ini menunjukkan keyakinan mereka terhadap aspirasi Pulau Pinang ke arah sebuah bandaraya antarabangsa dan pintar,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Guan Eng menegaskan bahawa Kerajaan Negeri enggan meluluskan projek pembangunan kasino di Pulau Pinang sungguhpun ia dilihat mampu menggandakan pendapatan negeri.

“Walaupun ia mampu memberi impak positif terhadap ekonomi negeri, tetapi nilai sosial dan kerohanian lebih mahal daripada itu
terutama dalam kehidupan masyarakat yang berbilang kaum serta agama di sini,” jelas beliau.