Persaingan matangkan dua beradik perniagaan bakeri online

Oleh: YAP LEE YING
Gambar : IDZHAM AHMAD

PERSAINGAN dalam pasaran pembuatan kek secara online adalah amat sengit.

Namun, cabaran itu banyak mematangkan dua beradik yang kini mengusahakan perniagaan tersebut secara aktif sejak dua tahun lalu.

Menurut Siti Sarah Ahmad, 24, faktor persaingan yang wujud memaksa beliau serta kakaknya, Siti Aishah, 29, untuk menjadi lebih kreatif.

“Apa yang kami lakukan adalah mengadakan jualan atau tempahan terbuka secara bulanan untuk menarik pelanggan.

“Contohnya, harga istimewa jualan atau tempahan untuk cream puff dan produk-produk bakeri yang lain,’’ kata Siti Sarah yang ketika itu sedang sibuk menghias kek coklat lembap (moist) mini ditempah pelanggan.

Mengulas lanjut mengenai pembabitan mereka di dalam perniagaan berkenaan, kedua-dua beradik tersebut tidak menafikan bahawa minat terhadap bakeri adalah hasil pendedahan kerjaya sebelum ini.

“Saya bekerja di kedai bakeri di Taman Mutiara, Sri Rambai selama empat tahun bermula tahun 2001.

“Ketika itu, minat timbul untuk buat kek,’’ nyata Siti Aishah ringkas kepada Buletin Mutiara yang mengadakan kunjungan ke kediamannya di Taman Makok, Padang Lalang, Seberang Perai Tengah (SPT) baru-baru ini.

Selepas menamatkan perkhidmatan beliau di premis bakeri tersebut, Siti Aishah mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan bakeri dengan penghasilan kek mini cawan (mini cup cake).

“Sebanyak 12 biji kek dibungkus dalam satu pek dan dijual dengan harga RM2.

“Pasaran jualan saya adalah di kedai bakeri tempat saya bekerja sebelum ini.

“Walaupun terasa kecewa apabila kek tidak habis dijual, saya tidak putus asa. Tambahan pula, pemilik kedai yang juga bekas majikan saya kerap memberi sokongan untuk terus membekalkan beliau kek-kek ini bagi jualan di premisnya,’’ jelas Siti Aishah.

Ketika ditanya mengenai keunikan produk bakeri dihasilkan, Siti Aishah menyatakan bahawa beliau hanya menghasilkan (membuat) kek ditempah dua hari sebelum tarikh penghantaran.

“Sekiranya dibuat awal, rasa kek terutamanya kek span akan menjadi kering dan berubah bentuk.

“Ciri ini merupakan antara faktor menjamin kek dihasilkan kami adalah fresh,’’ tegasnya.

Mengulas mengenai hiasan kek, Siti Sarah menyatakan bahawa idea merekabentuk adalah ‘datang’ dengan sendiri.

“Sekiranya terdapat tempahan, saya akan tanya pelanggan jenis-jenis hiasan wajib yang diperuntukan termasuk bahan-bahan seperti buah yang perlu digunakan.

“Bagi hiasan rumit, ia mampu mengambil masa hingga dua setengah jam, manakala bagi yang ringkas, kira-kira 45 minit,’’ kata beliau sambil melemparkan senyuman.

Secara purata, dalam tempoh seminggu iaitu ketika bukan musim perayaan, tempahan mampu mencecah dua biji kek.

“Produk kek paling laris adalah kek coklat lembap (chocolate moist cake) yang dijual pada harga RM55 untuk satu setengah kilogram,’’ ujar Siti Aishah.

Menyentuh mengenai perancangan masa depan, Siti Aishah yang kini dikurniakan dua cahaya mata masing-masing berusia empat dan satu tahun berhasrat untuk memiliki premis bakerinya sendiri.

Walaupun masih jauh perjalanan, beliau dan adik bongsunya tidak pernah patah semangat mengharungi cabaran dalam bidang berkenaan.

INFO :

FB : warisanniaga

Tel. : 012 – 580 0376

Alamat : 1201, Padang Lalang, SPT.