Iman negeri – Isu fitnah memalukan umat Islam dan tidak patut menjadi bahan politik

TUAN Haji Yusoff Haji Ahmad.
TUAN Haji Yusoff Haji Ahmad.

 

GEORGE TOWN – Imam Negeri Pulau Pinang, Tuan Haji Yusoff Haji Ahmad kesal dengan pelbagai tuduhan fitnah pihak tidak bertanggungjawab yang berlaku di sepanjang bulan Ramadan baru-baru ini.

Yusoff berkata, isu-isu dan fitnah-fitnah membabitkan Ketua Menteri Pulau Pinang tidak sepatutnta berlaku pada bulan Ramadan kerana bulan Ramadan merupakan bulan ’bonus’ untuk orang Islam memperbanyakkan ibadah dan bukannya memecah-belahkan lagi umat Islam.

Contohnya, fitnah gambar Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng melakukan penyembelihan lembu adalah tidak patut berlaku. Gambar bekas Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah diubahsuai dengan meletakkan gambar Y.A.B Lim Guan Eng melakukan penyembelihan. Malah, isu khutbah oleh Ustaz Zakaria Ahmad di Masjid Padang Menora juga telah dipolitikkan.

Bulan Ramadan merupakan bulan mulia dan perkara sebegini tidak harus disensasikan. Sebaliknya, sebagai umat Islam, fitnah perlu dielakkan sepanjang masa kerana ia sangat berdosa. Isu fitnah ini memalukan umat Islam sendiri dan tidak patut menjadi bahan politik,’’ tegas beliau ketika ditemui SUARA CAT di sini baru-baru ini.

Sementara itu, menurut Yusoff, beliau bersyukur di atas sumbangan dan inisiatif Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) menambah peruntukan untuk pembangunan hal ehwal Islam berbanding sebelum ini.

Dengan sumbangan dan peruntukan tambahan yang diberikan, banyak program ibadah dapat diteruskan demi memperkayakan aktiviti mulia sepanjang bulan Ramadan khususnya bagi masjid-masjid kariah di sekitar negeri Pulau Pinang.

Pada tahun ini, selain program ibadah yang diadakan dari semasa ke semasa, melalui penglibatan bersama Exco Hal Ehwal Agama, terdapat dua program peringkat negeri Pulau Pinang iaitu bacaan Kitab Syamail (Februari 2010) dan bacaan Kitab Al-Tibyan (bulan Ramadan) telah diadakan,’’ jelasnya sambil menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri telah menyumbangkan RM5,000 kepada Masjid Negeri baru-baru ini.