Imbasan – Pulau Pinang Bersih & Hijau

PULAU PINANG BERSIH DAN HIJAU – NEGERI PILIHAN UNTUK KEHIDUPAN YANG MAPAN

DALAM usaha memburu pelaburan, percambahan industri dan pembangunan, Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah leka di dalam memperjuangkan inisiatif pemuliharaan alam sekitar sehingga berjaya menobatkan Pulau Pinang sebagai Negeri Hijau pertama di Malaysia.

Atas inisiatif dan usaha kerajaan merancakkan kempen ’Negeri Hijau’ terutamanya dengan pelancaran kempen Tanpa Beg Plastik pada setiap hari Isnin bermula Julai 2009 yang kemudian dilanjutkan ke hari Selasa dan Rabu bermula Januari 2010 berkuatkuasa kepada semua pasaraya besar dan pasaraya tempatan, sebanyak 32,508,419 penggunaan beg plastik telah berjaya dikurangkan (perangkaan sehingga 26 Oktober 2010) di seluruh negeri ini. Pada tahun 2011, inisiatif tersebut bakal dikuatkuasakan pada setiap hari menerusi pelaksanaan Hari Tanpa Beg Plastik Percuma Setiap Hari.

Bagi mempergiatkan amalan 3Rs iaitu Kurangkan (Reduce), Guna Semula (Reuse) dan Kitar Semula (Recycle), penggunaan bekas makanan polisterin turut dilarang di semua program dan aktiviti anjuran Kerajaan Negeri. Dalam pada itu, inisiatif tersebut juga bakal dilanjutkan kepada peniaga-peniaga di seluruh negeri Pulau Pinang. Sebagai permulaan, Kerajaan Negeri melalui Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar telah mengedarkan baucer khas kepada para peniaga berhubung pembelian bekas makanan diperbuat daripada kertas atau bahan kitar semula.

Pada aspek lebih luas, atas hasil usaha Kerajaan Negeri, tahap kualiti air di Sungai Pinang juga telah ditpertingkatkan ke kelas ketiga berbanding tiga tahun lalu yang mana ia diklasifikasikan sebagai antara tujuh batang sungai paling tercemar di Malaysia. Malah, Sungai Juru (yang sebelum ini turut tergolong di dalam kategori sama) juga telah terkeluar daripada senarai berkenaan. Lazimnya, kejayaan mempertingkatkan kualiti air di Sungai Pinang adalah hasil usaha dan inisiatif Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Indah Water Konsortium (IWK) yang membuat penyambungan terus hasil kumbahan dari pusat penyembelihan di Jalan Sungai ke pusat rawatan IWK di Jelutong.

Sepanjang tahun ini, dua program pembersihan pantai juga telah diadakan. Penganjuran pertama pada 18 April 2010 diadakan di pesisir pantai Gurney bersempena dengan Hari Bumi Sedunia manakala penganjuran kedua yang diadakan secara serentak dengan 100 lebih buah negara di seluruh dunia telah berlangsung di Pantai Bersih dan Pantai Robina, Seberang Perai Utara (SPU). Selain kakitangan kerajaan, program terbabit juga telah berjaya menarik penyertaan daripada pihak swasta, Universiti Sains Malaysia (USM) dan juga badan-badan sukarela. Di samping itu, program melempar ’bola lumpur’ atau ’mudballs’ turut diadakan sebagai salah satu usaha pemuliharaan sungai di sekitar Pulau Pinang. Malah, buat julung kalinya, Konsert Hijau dengan penyertaan artis-artis popular turut diadakan buat julung kalinya pada tahun ini.

Pada Mei 2010, Kerajaan Negeri PR mara selangkah ke hadapan lagi di dalam usaha pemuliharaan alam sekitar apabila projek ’Penang Hijau Bersih’ atau ’Cleaner Greener Penang’ bagi memulihkan persekitaran hidup ke arah sebuah bandaraya bersih dan hijau bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk dilancarkan. Walaupun projek ini adalah inisiatif Kerajaan, namun, penekanan penglibatan adalah membabitkan kerjasama tiga pihak iaitu sektor kerajaan, korporat dan masyarakat. Sila layari laman web www.cleanergreenerpenang.com bagi maklumat lanjut.

Demi menambahkan tempat riadah hijau dan rekreasi untuk orang awam, Kerajaan Negeri juga bercadang mewartakan tanah kerajaan seluas 10.1 ekar di Bukit Mertajam atau Bukit DO sebagai taman rekreasi yang baru. Pewartaaan ini telah diluluskan oleh Jawatankuasa Tanah pada 24 Ogos 2010 dan akan dibawa kepada kelulusan terakhir di Mesyuarat EXCO di dalam tempoh terdekat. Pewartaan ini adalah di atas nama Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri dan diselenggarakan oleh MPSP.

Terbaru, beberapa program lanjutan turut diadakan termasuk pendaftaran Warga Hijau, Anugerah Sekolah Hijau dan menjelang akhir tahun ini, program Sembang Hijau turut akan dilancarkan. Layari http://greenstate.penang.gov.my bagi maklumat lanjut.

Tahukah Anda??

Pulau Pinang yang dikelilingi oleh laut di bahagian pulau dan sebahagian di daratan semenanjung mempunyai pantai-pantai menarik dengan 201.4 kilometer (km) panjang di bahagian pulau, 8.3km di pulau-pulau kecil seperti Pulau Jerejak, Pulau Aman serta Pulau Rimau dan 66.4km di bahagian daratan Seberang Perai.

Pesisiran pantai Seberang Perai sepanjang 30km merupakan kawasan pantai berpasir yang sesuai untuk aktiviti berkelah dan riadah ; 70km kawasan bakau merupakan kawasan sumber pembiakkan ikan ; 30km kawasan pembangunan pelabuhan ; 40km kawasan berlumpur dan 20km kawasan berbatu. Pulau Pinang juga mempunyai 150 sistem sungai yang mengalir ke laut.