Imbasan 2010 – Kebajikan

MENINGKATKAN DAN MEMANTAPKAN SEKTOR SOSIAL

BAGI menghargai jasa dan pengorbanan warga emas, Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang telah melancarkan Program Penghargaan Warga Emas yang melayakkan mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas menerima sumbangan RM100 setiap tahun. Kepada waris warga emas, RM1,000 turut disumbangkan bagi tujuan pengurusan jenazah. Sehingga Oktober 2010, seramai 112,036 warga emas yang layak telah mendaftar di bawah program berkenaan. Malah, sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan Kerajaan Negeri pada tahun 2010 bagi pelaksanaan program tersebut.

Berhubung konteks pembasmian kemiskinan, negeri Pulau Pinang merupakan yang pertama berjaya membasmi sepenuhnya kemiskinan tegar di dalam tempoh hanya setahun dengan memastikan setiap isi rumah memperoleh pendapatan keluarga minimum RM500 sebulan. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM3.6 juta sejak 2009 sehingga September 2010 untuk Program Rakan Anti Kemiskinan (RAK).

Bagi menambah pendapatan, wang simpanan, keperluan asas dan keupayaan mengumpul aset golongan peniaga kecil, ibu tunggal, golongan orang kelainan upaya (OKU) serta fakir miskin, buat julung kalinya, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah memperuntukan RM3 juta di bawah Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) yang dilaksanakan pada awal tahun 2010. Tabung Pinjaman ini dijalankan mengikut model Micro-pinj (Micro-pinjaman) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan menekankan kepada konsep untuk memanfaatkan golongan keterbawahan iaitu tanpa sebarang faedah melalui jumlah pinjaman maksimum sebanyak RM5,000.00 dan tempoh bayaran balik adalah selama 2 tahun.

Dalam pada itu, kepada penduduk yang masih lagi kurang kemampuan untuk mendapat kemudahan bekalan air bersih Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyediakan 2 skim berikut:

i. Skim Pinjaman Tanpa Faedah (Kampung Loan); dan

ii. Skim Bantuan Program Pembasmian Rakyat Termiskin.

Melalui skim-skim tersebut, Kerajaan Negeri bercadang meringankan beban rakyat susah dengan mengecualikan mereka daripada pembayaran deposit bekalan air sebanyak RM70.00 untuk kedua-dua skim bantuan ini.

Malah, Kerajaan Negeri berjiwa rakyat juga turut menetapkan bantuan bencana alam dikeluarkan di dalam tempoh 24 jam kepada mangsa-mangsa terlibat.