GEORGE TOWN – Pulau Pinang merekodkan peningkatan impak ekonomi daripada sektor pelancongan perniagaan dan acara (MICE) kepada RM1.98 bilion pada 2025, berbanding RM1.29 bilion pada 2024 dan RM1.03 bilion pada 2023.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, pencapaian itu mencerminkan keberkesanan usaha Kerajaan Negeri menerusi Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB) dalam memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi persidangan dan acara antarabangsa.
Menurutnya, peningkatan Estimated Economic Impact (EEI) tersebut menunjukkan sumbangan signifikan aktiviti MICE kepada ekonomi negeri, khususnya melalui penganjuran persidangan, konvensyen, acara korporat dan program insentif.
“Penganjuran acara MICE turut merancakkan sektor perhotelan, pengangkutan, makanan dan minuman serta pelbagai perkhidmatan berkaitan pelancongan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Lee Boon Heng sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini sebentar tadi.
Boon Heng sebelum itu bertanyakan mengenai pencapaian Kerajaan Negeri dalam menarik lebih banyak aktiviti MICE sepanjang tiga tahun kebelakangan ini serta impak konflik di Asia Barat terhadap sektor berkenaan.
Mengulas lanjut, Hon Wai berkata, konflik di Asia Barat turut membuka peluang kepada Pulau Pinang apabila terdapat penganjur yang mempertimbangkan untuk memindahkan lokasi acara dari Timur Tengah ke rantau Asia Pasifik, termasuk Pulau Pinang.
Dalam tempoh berkaitan, katanya, Pulau Pinang telah menganjurkan lebih daripada 10 persidangan, termasuk program insentif korporat Nippon Paint dan Y’s Men International (YMI) 2026 International Convention.
Beliau berkata, perkembangan tersebut memberikan peluang kepada negeri ini untuk menarik lebih banyak acara antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi MICE serantau.
“Impak keseluruhan konflik berkenaan terhadap sektor MICE perlu terus dipantau memandangkan keputusan memindahkan lokasi acara bergantung pada pertimbangan penganjur, situasi keselamatan dan perkembangan pasaran antarabangsa,” ujarnya yang juga ADUN Paya Terubong.
Menjawab soalan tambahan selepas itu, Hon Wai berkata, Kerajaan Negeri telah membangunkan kemudahan persidangan sejak 2008 bagi menyokong pertumbuhan sektor MICE, termasuk SPICE Convention Centre, Penang Waterfront Convention Centre dan PICCA Convention Centre di Butterworth serta hotel-hotel yang dilengkapi dewan persidangan berskala besar.
Menurutnya, kemudahan tersebut turut disokong oleh pelbagai tarikan dan pengalaman yang ditawarkan kepada pengunjung, sekali gus meningkatkan daya tarikan Pulau Pinang sebagai destinasi penganjuran acara.
Beliau berkata, Pulau Pinang turut menjadi lokasi penganjuran pelbagai persidangan dalam bidang khusus seperti perubatan, pergigian, kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.
“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan pemain industri untuk menarik lebih banyak persidangan dan konvensyen ke Pulau Pinang, termasuk bagi tahun 2027,” katanya.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT