BAGAN DALAM – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bakal memohon peruntukan dana tambahan kira-kira RM6 juta bagi menaik taraf infrastruktur awam yang usang di tiga lokasi utama sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Dalam.
Kerja-kerja penaiktarafan jalan, bahu jalan serta sistem perparitan sedia ada di Taman Mewah, Taman Bagan dan Kampung Benggali masing-masing dianggarkan memerlukan perbelanjaan sebanyak RM1.965 juta, RM1.415 juta dan RM2.63 juta.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Jabatan Kejuruteraan MBSP akan memohon peruntukan tambahan bagi membolehkan Jabatan Kewangan Negeri (JKN) memproses kelulusan dana berwajib di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).
“Pulau Pinang menerima peruntukan MARRIS daripada Kerajaan Persekutuan kira-kira RM300 juta setahun (yang mana) skop MARRIS kini telah diperluaskan merangkumi kerja pembaikan parit dan cerun.
“Bagi tahun ini (2026), MBSP menerima peruntukan Persekutuan di bawah MARRIS ini sebanyak RM99 juta sahaja sungguhpun RM150 juta yang dipohon.
“Oleh itu, permohonan tambahan berasaskan projek akan dikemukakan bagi memenuhi keperluan di Bagan Dalam,” katanya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi semasa mengadakan Jelajah Ketua Menteri ke Taman Mewah di sini pada 17 Julai 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Dalam, K. Kumaran; Tan Khong Chong (wakil Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng); Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid dan Pengarah Kejuruteraan MBSP, Mohd. Syukri Said turut sertai acara komuniti tersebut.
Ditanya pemberita sebelum pada itu, Kumaran menegaskan bahawa infrastruktur di kawasan perumahan dan perniagaan lama tersebut di sini sebenarnya sudah tidak dinaik taraf secara menyeluruh sejak 20 hingga 30 tahun lalu, sehingga menyukarkan pergerakan penduduk termasuk golongan kurang upaya (OKU) yang menggunakan kerusi roda.
Sementara itu, Ahmad Syukri pula memberitahu bahawa pihaknya akan mengambil tindakan jangka pendek seperti menampal lubang jalan (patching), sementara menunggu permohonan peruntukan tambahan MARRIS diproses oleh JKN, dalam tahun ini juga.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : ALISSALLA THIAN