BAGAN DALAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pelaksanaan tarif baharu air domestik yang dikuatkuasakan sejak 1 Julai lalu akan diteruskan, sungguhpun Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mencadangkan dasar itu ditangguhkan selama setahun lagi.
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa penyelarasan ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkaitan, sebenarnya telah ditangguhkan hampir setahun daripada tarikh asal yang sepatutnya berkuat kuasa pada Ogos tahun lalu (2025).
“Lanjutan tempoh telah diberikan selama hampir setahun, jadi pelaksanaan ini perlu diteruskan.
“Hasil tambahan sekitar RM20 juta ini amat kritikal bagi membiayai perbelanjaan modal (CAPEX) Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
“Kita (Kerajaan Negeri melalui PBAPP) sedang melihat pelaburan besar mencecah RM2 bilion untuk memperkukuh keselamatan air negeri, dan belum lagi termasuk perjanjian bekalan air dengan Perak yang melibatkan bilion ringgit,” jelasnya pada sidang media Jelajah Ketua Menteri: Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Dalam ke Taman Mewah di sini pada 17 Jun 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Dalam, K. Kumaran; Tan Khong Chong (wakil kepada Guan Eng); Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid dan Pengarah Kejuruteraan MBSP, Mohd. Syukri Said turut sertai acara komuniti tersebut.
Tambah beliau, kedudukan kewangan (annual return) kukuh amat penting bagi mengekalkan penarafan (rating) kredit yang baik bagi membolehkan PBAPP menerbitkan bon sukuk pada masa hadapan, sekiranya perlu.
Ditanya pemberita, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan mengingatkan bahawa kos sebenar penyampaian air bersih telah melebihi RM1 bagi setiap meter padu, namun pengguna domestik di Pulau Pinang masih menikmati kadar mampu milik iaitu 65 sen susulan subsidi silang yang ditanggung oleh sektor industri dan komersial.
Semalam, Guan Eng dilaporkan mencadangkan penangguhan pelaksanaan tarif baharu air sekali lagi dalam tempoh setahun, memandangkan bagi membantu rakyat menghadapi kos sara hidup yang kian menekan belakangan ini.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : ALISSALA THIAN