Impian Razlan tercapai, terima biasiswa lanjut pendidikan di UniSA

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MARK JAMES

PULAU TIKUS – Hasrat seorang graduan cacat penglihatan untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang inovasi
perniagaan dan keusahawanan selama dua tahun di University of South Australia (UniSA) Australia, akhirnya tercapai.

Walaupun terpaksa berjauhan tatkalasambutan Aidilfitri, namun bagi pelatih di St.Nicholas’ Home, Razlan Ibrahim Mukhtar, 21, beliau teruja kerana berpeluang meraikannya di dua negara berbeza.

“Hari Raya tahun ini yang paling istimewa kerana berpeluang berpuasa penuh sepanjang Ramadan bersama keluarga setelah 10 tahun
tinggal di asrama.

“Terlalu banyak yang ingin dikongsikan bersama keluarga dan saya sendiri membuat beberapa persiapan awal untuk keperluan (saya)
sebelum berlepas ke Adelaide (19 Julai 2015),” katanya kepada pemberita dalam sidang media khas di sini baru-baru ini.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey dan Pengarah Eksekutif St. Nicholas’ Home, Daniel Soon

.
Mengulas lanjut, anak sulung daripada empat adik-beradik tersebut menyatakan bahawa beliau pasti akan merindui keluarga terutama adik bongsunya yang berusia tiga tahun.

“Saya akan memulakan perjalanan saya selama dua tahun di bumi Australia dan pastinya saya akan merindui keluarga saya,” ujar Razlan yang merupakan seorang graduan Diploma Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis.

“Tiga tahun menjalani hidup di Perlis, jauh daripada keluarga dan saya tak risau untuk menjalani kehidupan seorang diri di luar negara.

“Sekarang inipun, saya berulang-alik seorang diri menaiki pengangkutan awam setiap hari dari rumah saya di Mak Mandin, Butterworth ke St. Nicholas’ Home.

“Dua bulan lalu, saya juga berkesempatan ke Singapura seorang diri dengan menaiki keretapi,” katanya penuh yakin apabila disoal tentang kehidupannya di negara orang kelak.

Beliau yang menyimpan impian untuk berbakti kepada masyarakat selain mahu membuktikan bahawa insan istimewa seperti dirinya mampu mencapai kecemerlangan berjanji akan membawa pulang pengalamannya di UniSA untuk membantu mereka yang senasib dengannya.

Razlan mendapat tajaan penuh pembiayaan pendidikan berjumlah RM330,000 daripada sebuah syarikat telekomunikasi, Maxis Malaysia dan RM12,000 bagi pembelian papan braille mudah alih daripada Tengku Idaura Tengku Ibrahim bersama rakan-rakannya dari Persatuan Sahabat Kebun Botanik Pulau Pinang selepas kisah beliau disiarkan di media-media tempatan hasil sidang media khas yang diadakan Soo Huey sebelum ini.

Malah, selain itu, SkolaFund. com (organisasi yang mencari dana bagi pembiayai biasiswa atau pinjaman pendidikan universiti) juga berjaya mengumpul sejumlah RM3,900 dan RM9,300 daripada 40 penyumbang lain.

Sungguhpun begitu, Razlan telah memutuskan untuk menderma RM9,300 kepada St. Nicholas’ Home bagi membolehkan rakan-rakannya yang lain melanjutkan pelajaran kelak.

Dalam pada itu, Soo Huey memberitahu, beliau amat mengagumi semangat dan ketekunan yang ditonjolkan Razlan untuk berjaya bukan sahaja dalam pelajaran, tetapi juga dalam membaiki kehidupan keluarganya.

“Bukan mudah bagi seorang pelajar yang cacat penglihatan seperti Razlan mengurus kehidupan hariannya, namun, kesungguhan dan
kegigihannya amat dikagumi.

“Malah, saya difahamkan, pemilihan Razlan sebagai penerima biasiswa pendidikan daripada Maxis Malaysia adalah berdasarkan kecemerlangannya dalam pendidikan, kebolehan dan kelayakannya. Bukan disebabkan ‘keadaan’ beliau,” jelas Soo Huey.

Bagi Daniel, beliau amat berbangga dengan pencapaian Razlan yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.86 setelah tamat pengajian diplomanya baru-baru ini.

“Dia adalah individu keenam dari St. Nicholas’ Home yang menerima tajaan pendidikan untuk belajar di luar negara,” kata beliau.