Kaedah cabutan undi & sebut harga terbuka Pesta P. Pinang bukti kurang orang tengah kaut untung pintas – KM

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SHUM JIAN-WEI

BATU UBAN – Seiring dengan prinsip CAT Kerajaan Negeri iaitu Cekap, Akauntabiliti dan Telus, kemudahan perniagaan pada penganjuran Pesta Pulau Pinang 2016 adalah ditawarkan melalui kaedah cabutan undi dan sebut harga terbuka.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pendekatan tersebut telah diguna pakai dalam tempoh tiga tahun sebelum ini dan ternyata dapat mengurangkan masalah penggerai yang dipercayai terpedaya oleh pihak atau orang tengah yang hanya mahu mendapat keuntungan pintas serta singkat.

“Dengan ini, pada penganjuran tahun ini, saya difahamkan sebanyak 161 gerai jualan serta pameran merangkumi sektor elektrik dan elektronik, produk kesihatan, pelancongan, hiasan dalaman, produk berasaskan kayu, bazaar tekstil, pokok hiasan, pakaian, produk kraftangan dan lain-lain telah mengambil bahagian.

“Malah, lebih menarik adalah sebagai Kerajaan Negeri berjiwa rakyat yang peka kepada rintihan rakyat dibebani dengan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan), harga tiket masuk ke Pesta Pulau Pinang masih lagi dikekalkan iaitu RM3 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak,” katanya pada Majlis Perasmian Pesta Pulau Pinang 2016 di sini pada 1 Disember lalu.

Hadir menyempurnakan majlis berkaitan, Tuan Yang Terutama Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas bersama isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

Turut serta, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus; Pegawai Kewangan Negeri, Sarul Bahiyah Abu; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Dr. T. Jayabalan; ADUN Komtar, Teh Lai Heng dan Pegawai Daerah Barat Daya, Ederis Mat Din.

Menurut Guan Eng, penganjuran Pesta Pulau Pinang yang merupakan kali ke- 50 pada tahun ini adalah pelaksanaan aktiviti dan program secara menyeluruh dengan mengambil kira program bercorak kekeluargaan, kesukanan dan riadah, iaitu sebanyak 80 program telah diaturkan sepanjang berlangsungnya temasya berkaitan.

“Pengunjung akan disajikan dengan pertunjukan hiburan pentas, program bercorak kesukanan seperti Pertandingan Silat Antarabangsa, Pesta Tinju Antarabangsa dan Pesta Muay Thai Challenger 2016.

“Dalam pertandingan berkonsepkan hiburan pula, Pesta Pulau Pinang bakal menganjurkan beberapa pertandingan bertujuan mencungkil bakat-bakat baru seperti Chinese Youth Karaoke Singing Competition, Bintang Pesta serta pertandingan Battle Of The Bands sebagai platform dalam melahirkan bintang-bintang baru dalam persada seni negara.

“Selain itu, terdapat juga program tambahan yang diperkenalkan iaitu Malam Kebudayaan Negeri melibatkan persembahan tarian dan nyanyian serta boria di bawah naungan Majlis Kebudayaan Negeri Pulau Pinang.

“Mengambil kira minat dan kecenderungan umum dalam budaya selfie/wefie, Pesta Pulau Pinang turut menyediakan beberapa ruang istimewa yang mana Jabatan Kerja Raya (JKR) Cawangan (Elektrik) juga telah mewujudkan satu sudut berkonsepkan Taman Elektra menempatkan lampu-lampu dan pelbagai acra menarik dengan pelbagai warna di hadapan Arena 1, laluan terowong cahaya berhadapan Arena 2, selain menaik taraf pencahayaan dengan pelbagai warna lampu di Taman Mini ala taman ICT,” jelasnya.