Isu dana zakat, tunggu siasatan SPRM – Ketua Menteri

whatsapp image 2026 02 03 at 10.43.22

BAYAN LEPAS – Gesaan supaya seorang pemimpin kanan meletakkan jawatan berhubung isu pengurusan dana zakat dan wakaf negeri disifatkan sebagai tidak perlu memandangkan perkara itu kini berada pada peringkat siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa isu tersebut sebenarnya telah dibangkitkan lebih awal iaitu semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada November tahun lalu.

Penjelasan telah dibuat di dalam persidangan DUN, dan pihak yang mengemukakan soalan tersebut juga telah menerima jawapan berhubung sebab dana itu digunakan sedemikian, berdasarkan pertimbangan jabatan-jabatan berkaitan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita sejurus selepas menghadiri program di Penang Silicon Design @5km+ di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa adalah menjadi kelaziman bagi seorang ahli politik untuk mengeluarkan pelbagai kenyataan, namun dalam kes ini, perkara berkenaan telah memasuki fasa siasatan dan semua pihak wajar menghormati proses tersebut.

Sekarang ini perkara itu sudah berada pada peringkat siasatan oleh SPRM, jadi kita tunggu (hasil) siasatan dan tidak perlu (mana-mana pihak) cuba mempengaruhi siasatan (yang sedang dijalankan).

“Negara ini mengamalkan sistam pentadbiran berlandaskan undang-undang dengan sistem kehakiman (yang berfungsi),” ujarnya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN