Izhar Arif ikrar bawa budaya politik baharu ‘macam ayah’

Admin
IZHAR Shah Arif Shah (kiri) saling berjabat tangan dengan Ketua Menteri di pejabatnya dekat Komtar pada 28 Ogos 2023

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya yang baharu, Izhar Shah Arif Shah mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar pada 28 Ogos 2023.

Izhar Shah diiringi oleh ayahnya, Dato’ Arif Shah Omar Shah, iaitu mantan ADUN Seberang Jaya selama dua penggal, sejak tahun 2004 hingga 2013.

Merupakan ADUN pembangkang Pulau Pinang pertama yang mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Menteri, Izhar Shah berkata bahawa beliau berharap dapat memainkan peranan sebagai wakil rakyat dalam wajah politik baharu Malaysia dan negeri Pulau Pinang.

“Walaupun saya ADUN pembangkang, saya cuba nak bawa budaya politik baharu, mewujudkan semangat persahabatan melebihi perbezaan parti politik.

“Macam ayah (Arif Shah) saya dahulu mempunyai semangat persahabatan yang baik dengan Ketua Menteri (Kon Yeow), begitulah saya cuba untuk bawa sekarang,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Kon Yeow kerana menerima kunjungan mereka berdua.

Selain itu, Izhar Arif juga berharap beliau bukan sahaja dapat meneruskan legasi ayah sebagai wakil rakyat Seberang Jaya, malah juga menyemarakkan budaya politik baharu atas semangat persahabatan yang matang.

ARIF Shah Omar Shah

Dalam pertemuan sama, Arif Shah memberitahu bahawa setiap wakil rakyat termasuk dalam blok pembangkang dalam budaya politik baharu seharusnya memperkatakan perkara-perkara dasar sahaja serta tidak membuat serangan-serangan politik secara peribadi.

Di samping itu, Arif Shah yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Perpaduan Komuniti Malaysia (PKPKM) turut memperkenalkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sedang digerakkannya pada peringkat nasional demi menyemarakkan semangat perpaduan masyarakat yang merentasi perbezaan etnik.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS