Jabatan Perikanan labuh 19 unit tukun tiruan, halang pencerobohan nelayan pukat tunda

Admin

BATU MAUNG – Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang melabuhkan 19 unit tukun tiruan jenis ‘dasar lembut penghalang pukat tunda’ bernilai RM296,619.80 bagi menyekat pencerobohan nelayan pukat tunda yang sering berlaku di perairan negeri ini.

Pengarahnya, Noraisyah Abu Bakar berkata, tukun bersaiz 3 X 3 X 3.8 meter (m) tinggi dengan berat 12 tan setiap unit dilabuhkan pada jarak 0.7 batu nautika dari Pulau Kendi dan pada kedalaman air laut 15.4m.

“Lokasi yang dipilih ini sesuai kerana kecerunan dasar adalah landai serta mengandungi selut keras selain berdekatan dengan tapak ‘tukun dasar lembut’ yang sedia ada.

“Selepas tukun tiruan dilabuhkan, pukat tunda yang tersangkut pada tukun ini akan pecah dan tali penarik akan putus mengakibatkan kerugian besar kepada nelayan yang menceroboh di kawasan kurang lima batu nautika dari pantai,” ujarnya pada sidang media di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik.

Noraisyah mengadakan sidang media sebelum melaksanakan operasi melabuhkan tukun tiruan di Pulau Kendi, semalam.

Mengulas lanjut, Noraisyah berkata, pembangunan projek tukun tiruan kali kelima itu juga adalah sebagai satu kaedah pemuliharaan sumber perikanan dan habitat laut dengan meningkatkan sistem ekologi marin.

“Ia (tukun) juga menjadi tempat pembiakan pelbagai jenis ikan seperti kerapu, kerisi, merah, selar kuning, kembung, udang dan sotong.

“Projek pembangunan ini sekaligus dapat menambah pendapatan nelayan tempatan terutamanya nelayan tradisional yang terbabit dengan aktiviti memancing.

“Oleh itu, Jabatan Perikanan berharap komuniti setempat dapat memberikan kerjasama dengan melakukan pemantauan terhadap tukun yang dilabuhkan ini dan turut terlibat secara aktif bagi membantu menyelenggara tukun-tukun yang dilabuhkan,” sarannya lagi.

Difahamkan, sebanyak empat projek melabuhkan tukun telah dilaksanakan Jabatan Perikanan di Pulau Kendi sejak tahun 2008 hingga 2010 yang melibatkan jenis ‘tukun rekreasi’, ‘dasar lembut’ dan ‘dasar lembut penghalang pukat tunda’.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI