Jagdeep bakal bawa usul perumahan ke Putrajaya

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo akan membawa beberapa usul berkaitan perumahan di Pulau Pinang dalam pertemuan bersama-sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang dijadualkan pada 4 Oktober ini di Putrajaya.

Selaku Exco berwajib, Jagdeep berkata, beliau akan membawa beberapa usul utama pada pertemuan bersama-sama Zuraida.

Salah satu daripadanya adalah cadangan untuk memperuntukkan sebahagian hasil kutipan cukai bagi perumahan awam sebagaimana dilaksanakan beberapa negara di dunia.

“Mekanisme ini bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya beberapa negara di dunia telah mempraktikkannya.

“Kini, kaedah adalah apabila cukai dibayar, ia (cukai) akan disalurkan ke dalam suatu tabung amanah yang kemudiannya akan digunakan untuk tujuan awam.

“Dengan memperuntukkan sebahagian hasil cukai khusus untuk perumahan awam, ia akan membantu usaha Kerajaan Negeri untuk membekalkan rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan rumah mampu milik di negari ini…termasuklah di negeri-negeri lain.

“Walau bagaimanapun, mekanisme yang dicadangkan ini adalah terserah kepada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk setuju atau tidak,” ujarnya pada sidang media di Komtar, semalam.

JAGDEEP Singh Deo (depan, tengah) menunjukkan keratan akhbar berkaitan isu perumahan pada sidang media di Komtar, semalam. Turut sama hadir ahli-ahli Jawatankuasa SPEC.

Hadir sama, ahli-ahli Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan (SPEC) serta wakil daripada Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Selain itu, Jagdeep turut akan membawa usul menyokong kenyataan yang disuarakan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk para pemaju perumahan mengurangkan harga rumah.

“Kami ahli jawatankuasa SPEC setuju sebulat suara agar pemaju mengurangkan harga rumah memandangkan Kerajaan Pusat telah mengenakan pengecualian SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) terhadap bahan binaan.

“Semua pihak berkepentingan perlu memberikan komitmen untuk mengurangkan harga rumah dan menjadikannya lebih mudah diakses terutama kepada mereka yang berpendapatan rendah.

“Sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan bertindak dengan tegas dalam aspek perumahan awam di negara ini,” katanya yang turut memberi respons terhadap tuntutan dikemukakan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Cawangan Pulau Pinang untuk menyemak semula caj terhadap pemaju.

Dalam sidang media sama, Jagdeep turut mengumumkan kelulusan untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Giam dekat Sungai Pinang.

“Kita (Kerajaan Negeri) sudah menerima surat kelulusan secara hitam putih dan kini menanti untuk langkah seterusnya.

“(Dan) sejak SPEC ditubuhkan pada 2013, sebanyak 49 mesyuarat telah diadakan.

“Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 43,121 pemohon yang layak untuk memohon rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan rumah mampu milik pelbagai kategori telah diluluskan di kelima-lima daerah di negeri ini.

“Jadi dengan kelulusan untuk membina unit-unit PPR, saya hasrat Kerajaan Negeri yang mengutamakan pembekalan rumah akan terlaksana,” jelasnya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD