Jagdeep hargai cabaran portfolio baru Kerajaan Tempatan, komited lakukan yang terbaik

Admin

TANGGAL 9 Mei 2019, genap setahun Pakatan Harapan mentadbir negeri Pulau Pinang selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan merupakan penggal ketiga sejak tahun 2008.

 

Pelbagai dasar, perancangan serta pelan telah dan sedang dirangka bagi membangunkan negeri ini yang secara tidak langsung menunjukkan betapa seriusnya pimpinan Pakatan Harapan Pulau Pinang berusaha memberi kesejahteraan kepada rakyatnya.

 

Wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI bersama-sama jurufoto, ALISSALA THIAN sempat menemu bual secara eksklusif Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, JAGDEEP SINGH DEO sempena setahun Pakatan Harapan Pulau Pinang mentadbir negeri ini, dan sejauh mana Manifesto PRU14 Pulau Pinang yang mengandungi 68 Janji ditunaikan.

 

JAGDEEP Singh Deo ketika ditemui di pejabatnya di Komtar baru-baru ini.

Pulau Pinang sebagai negeri contoh

10 tahun dahulu, rakyat Pulau Pinang membuat pilihan yang berani dan ternyata tepat dengan memilih Pakatan Rakyat (ketika itu) untuk mengambil alih tampuk pentadbiran negeri.

 

Kini, Pulau Pinang bukan sahaja menjadi negeri contoh di peringkat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan, malah turut menjadi model terbaik untuk Malaysia Baharu.

 

“Pulau Pinang menerajui semua negeri-negeri lain di Malaysia dari segi pencapaian dalam pentadbiran, dan kita (rakyat Pulau Pinang) berasa bangga apabila menjadi teladan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

 

“Pentadbiran Pakatan Harapan di Pulau Pinang sudahpun mencecah 11 tahun, namun, di peringkat Kerajaan Persekutuan masih baru, setahun, maka rakyat perlulah realistik dalam menilai pencapaian pentadbiran di peringkat Kerajaan Persekutuan.

 

“Di Pulau Pinang pun mengambil masa lama dan setelah tiga penggal, segala cabaran dan usaha gigih sebagai sebuah kerajaan baharu menampakkan hasil yang memberangsangkan…sehinggakan Pulau Pinang menjadi negeri yang bukan sahaja lebih bersih, lebih hijau, lebih selamat dan lebih sihat, tetapi juga diiktiraf dunia dalam pelbagai lapangan.

 

“(Dan) saya berharap dengan visi Penang2030 yang digagaskan oleh Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow, program-program yang direncanakan akan memberi kemakmuran serta kesejahteraan kepada rakyat di negeri ini,” ujarnya sebagai mukadimah.

 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat melahirkan kesyukuran apabila sepanjang menjadi Exco Kerajaan Negeri, beliau mendapat kerjasama yang baik sama ada daripada penjawat awam mahupun (pihak) berkepentingan lain dan berharap agar kerjasama yang terjalin erat dapat dikekalkan pada masa hadapan.

 

Perumahan untuk rakyat

Menyentuh mengenai portfolio ‘Perumahan’ yang diterajui beliau sejak penggal lalu, Jagdeep gembira menyatakan bahawa janji Pakatan Harapan Pulau Pinang dalam Manifesto PRU14 lalu bukan sahaja tercapai malah cemerlang.

 

“Dalam manifesto, kita (Pakatan Harapan Pulau Pinang) berjanji untuk menyediakan 75,000 unit rumah pelbagai kategori untuk rakyat sehingga tahun 2025.

 

“Walau bagaimanapun, saya berbangga apabila sehingga hari ini, kita telah melepasi janji kita iaitu dengan membina 29,959 unit rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik; 23,567 unit sedang dibina dalam pelbagai peringkat binaan dan telah diluluskan untuk pembinaan sebanyak 48,528 unit menjadikan keseluruhannya mencecah 102,054 unit.

 

“Bukan itu sahaja, dalam soal penyelenggaraan juga, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM174.6 juta bagi 50 skim perumahan awam sejak 2008 dan RM32 juta melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) bagi 370 perumahan swasta yang layak sejak 2013,” jelasnya.

 

JAGDEEP Singh Deo (tengah) pada sidang media di Komtar, hari ini.

Cabaran portfolio baharu, capai status ‘Negeri Pintar’

Menurut Jagdeep, beliau sangat menghargai cabaran yang diberikan oleh Kerajaan Negeri untuk menerajui portfolio ‘Kerajaan Tempatan’.

 

“Meskipun ia merupakan portfolio baharu bagi saya…saya amat hargai kerana saya sukakan cabaran dan saya telah berikrar untuk memberikan sehabis baik bagi melaksanakannya,” katanya.

 

Di bawah portfolio ‘Kerajaan Tempatan’, Jagdeep berkongsi pencapaian yang berjaya dilakukan sejak setahun lalu. Antaranya, pemasangan 100 peratus lampu jalan menggunakan diod pancaran cahaya atau LED dalam tempoh lima tahun di bahagian pulau dan Seberang Perai ke arah mencapai status ‘Negeri Pintar’ serta pemasangan 1,175 unit kamera litar tertutup (CCTV).

 

“Malah Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Malaysia yang menggunakan sistem CCTV pengecaman wajah.

 

“Bagi mencapai status ‘Negeri Pintar’ juga, kita (Kerajaan Negeri) baru-baru ini memperkenalkan Sistem Parkir Pintar yang akan beroperasi sepenuhnya dalam tempoh dua tahun selain menjadi negeri pertama di Asia yang terpilih untuk projek perintis berskala besar Terragraph dan Facebook bagi perkhidmatan internet pantas tanpa wayar berkelajuan tinggi.

 

“Kita turut berikrar untuk menjadikan Pulau Pinang lebih hijau dengan menanam 100,000 batang pokok untuk tempoh lima tahun akan datang, namun, saya telah arahkan agar kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menggandakannya.

 

“Maka, 200,000 batang pokok perlu ditanam dalam tempoh lima tahun akan datang di samping lebih 300,000 batang pokok yang telah ditanam sejak tahun 2008 bagi mendepani perubahan iklim melampau pada masa hadapan.

 

“Bukan itu sahaja, saya turut mengarahkan agar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menjalankan pemeriksaan berkala di premis serta kompleks makanan bagi membolehkan ia diiktiraf dengan penggredan kebersihan Gred A menjelang tahun hadapan,” tegasnya.

 

Salah satu yang sedang diusahakan adalah status ‘Bandar Raya’ bagi MPSP.

 

“Saya gembira untuk memaklumkan bahawa pihak kita telah menghantar kertas kerja yang sepatutnya kepada Kerajaan Persekutuan untuk pertimbangan dan berharap ia dapat direalisasikan tahun ini,” maklumnya.

 

Selain itu, Pulau Pinang juga menjadi negeri pertama di Malaysia yang mempunyai perpustakaan digital dan kini Perpustakaan Digital Pulau Pinang Fasa 2 turut beroperasi bersebelahan bangunan Fasa 1 di Jalan Masjid Negeri.

 

Pulau Pinang turut berbangga apabila berjaya mencapai kadar kitar semula 42 peratus berbanding kadar purata kebangsaan hanya 24 peratus membuktikan segala inisiatif hijau Kerajaan Negeri berjaya.

 

Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030

Sejak sekian lama tertangguh, akhirnya Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP2030) diluluskan oleh Kerajaan Negeri dan kelulusan turut diperoleh daripada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN).

 

“Dengan kelulusan RSNPP2030 ini, saya amat berharap segala perancangan di peringkat Kerajaan Tempatan dapat dimuktamadkan dalam tempoh terdekat dan dilaksanakan di bawah portfolio berkaitan.

 

“Misalnya, projek Gurney Wharf yang bakal menjadi ikon baharu tarikan pelancongan Pulau Pinang bakal disempurnakan tidak lama lagi, yang mana saya difahamkan, proses tambakan akan siap dalam tempoh tiga bulan ini.

 

“Di bawah portfolio Perancangan Bandar dan Desa juga, Kerajaan Negeri akan meneruskan pemberian geran berjumlah RM50,000 maksimum kepada rumah ibadat bukan Islam (RIBI) di negeri ini, yang mana sehingga kini telah membelanjakan RM5.46 juta bagi 139 permohonan,” ulasnya.

 

JAGDEEP Singh Deo (tengah) bersama-sama wakil-wakil jabatan kerajaan berkaitan, yang banyak membantu melancarkan urusan perkhidmatan harian.

Harapan

Menurut Jagdeep, banyak cabaran yang harus ditempuhi oleh pentadbiran sesebuah Kerajaan, malah rakyat meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat pembaharuan.

 

“Oleh itu, saya amat berharap agar pentadbiran baharu di peringkat Kerajaan Persekutuan dapat membantu Kerajaan Negeri untuk membawa lebih banyak lagi pembaharuan yang dapat dinikmati oleh rakyat keseluruhannya.

 

“Bukan sahaja dari segi pemilikan rumah dan kadar penolakan pinjaman perumahan yang tinggi, tetapi juga lain-lain inisiatif serta perancangan yang bukan sahaja meningkatkan daya huni negeri malah juga menambah baik kehidupan serta kesejahteraan rakyat.

 

“Apapun, saya sangat berbangga dengan pentadbiran Pakatan Harapan Pulau Pinang, syabas, saya tidak mungkin dapat melakukannya seorang diri dan kepada Malaysia Baharu, tahniah,” katanya mengakhiri temu bual yang diadakan di pejabatnya di Komtar baru-baru ini.

 

Apabila ditanya sejauhmana beliau menilai pencapaian pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang, dengan bersahaja beliau berkata, hanya rakyat mampu menilainya.