GEORGETOWN – Kerajaan Negeri disaran mengemukakan pelan jangka panjang projek menaik taraf Jalan Berapit bagi menampung limpahan trafik susulan pembangunan industri mega Northern TechValley @ BKE menjelang tahun 2029.
Perkara tersebut disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee ketika membahaskan usul Belanjawan Pulau Pinang 2027 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini sebentar tadi.
Menurut Lee Lee, Jalan Berapit yang kini hanya sepanjang satu kilometer (km) bakal menjadi laluan utama menghubungkan penduduk Bukit Mertajam ke kawasan industri baharu seluas 176 ekar berkenaan, serta cadangan projek Koridor BKE seluas 1,578 ekar.

“Northern TechValley dijangka menyediakan 5,000 peluang pekerjaan, manakala pembangunan Koridor BKE pula berpotensi menambah sehingga lebih 10,000 peluang pekerjaan.
“Anggaran kasar menunjukkan sekurang-kurangnya 30 peratus pekerja akan datang dari kawasan Bukit Mertajam dan keluar masuk menggunakan Jalan Berapit setiap hari.
“Persoalannya, adakah jalan raya kita sudah bersedia menghadapi peningkatan trafik yang mendadak tersebut,” soal beliau.
Beliau dalam pada itu turut mendedahkan data rasmi yang mana sebanyak 104 kes kemalangan dan tujuh kes kematian dicatatkan di laluan tersebut dalam tempoh 21 bulan kebelakangan ini.
“Secara purata, satu kemalangan berlaku di Jalan Berapit setiap enam hari.
“Pada tahun 2025, sebanyak 55 kes kemalangan direkodkan dengan tiga kematian, manakala bagi tempoh Januari hingga September tahun ini (2026), sebanyak 49 kes dilaporkan melibatkan empat kematian.
“Apa yang lebih tragis, kawasan titik panas (hotspot) kemalangan ini hanya sepanjang 556 meter sahaja.
“Kawasan ini sekarang masih dikelilingi perumahan tanpa aktiviti perniagaan besar, tetapi kadar kemalangan sudah setinggi ini, bayangkan implikasinya apabila kilang-kilang mula beroperasi dan kenderaan berat serta lori mula keluar masuk nanti,” tegasnya lagi.
Mengulas lanjut, Lee Lee menyatakan penghargaan atas langkah jangka pendek yang diambil Jabatan Kerja Raya (JKR) yang telah menyiapkan pemasangan papan tanda had laju 30km/j serta garisan kuning pada Oktober lalu.
“Proses menaik taraf jalan memakan masa dua hingga tiga tahun merangkumi kajian trafik, reka bentuk dan pengambilan tanah.
“Tahun 2029 hanya tinggal kira-kira tiga tahun lagi dan kita tidak boleh menunggu sehingga masalah berlaku baru hendak mencari jalan penyelesaian,” katanya lagi.