GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri disaran memperkukuh usaha menangani isu perumahan mampu milik khususnya melibatkan peruntukan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara menerusi Belanjawan Pulau Pinang 2027.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Lee Boon Heng, antara perkara yang memerlukan perhatian serius termasuklah keadaan Flat Padang Tembak yang menempatkan kira-kira 15,000 penduduk melibatkan 3,600 unit kediaman di sembilan blok.
“Peruntukan penyelenggaraan oleh Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) bagi kawasan berkenaan menunjukkan trend penurunan daripada RM1.8 juta pada 2023 kepada RM1.1 juta pada 2025, dengan jumlah sama diunjurkan bagi 2026 dan 2027.
“Ini dilihat tidak setimpal dengan keadaan flat yang semakin usang, khususnya kerosakan lif, pendawaian elektrik dan sistem perpaipan yang masih belum diselesaikan.
“Saya merayu agar Kerajaan Negeri menambah peruntukan penyelenggaraan dan memastikan kerja-kerja membaik pulih infrastruktur asas dapat dilaksanakan dengan segera,” ujarnya ketika membahaskan Belanjawan Pulau Pinang 2027 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini sebentar tadi.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu keselamatan cerun susulan kejadian tanah runtuh di Taman Seri Rambai pada 25 Oktober lalu yang mengorbankan seorang warga emas berusia 73 tahun.
Katanya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) perlu mempunyai sistem pemantauan cerun berisiko yang lebih menyeluruh, termasuk pemeriksaan berkala, kerja pengukuhan serta pemantauan projek pembangunan di kawasan lereng bukit.
Beliau dalam pada itu, turut meminta penjelasan mengenai jumlah pakar cerun yang dimiliki MBPP bagi memastikan aspek keselamatan kawasan berisiko diberi perhatian sewajarnya.
Dalam sesi sama, Boon Heng juga mahu MBPP mengambil tindakan lebih tegas terhadap lembu ternakan yang berkeliaran, selain mempergiat usaha menangani masalah tikus di Flat Padang Tembak dan monyet liar yang semakin mengganggu keselamatan penduduk serta warga sekolah.
“Saya juga mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas bagi menangani isu monyet liar secara lebih tersusun, termasuk penyelarasan tindakan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” jelas beliau lagi.
Mengulas pembangunan di Kebun Bunga, beliau merakamkan penghargaan kepada MBPP atas komitmen melaksanakan projek Underpass Mount Erskine bernilai RM33 juta yang dijangka membantu mengurangkan kesesakan di persimpangan Jalan Mount Erskine, Jalan Gottlieb dan Jalan Burma.
“Saya difahamkan proses tender disasarkan bermula Februari 2027 sebelum kerja-kerja pembinaan dijangka dimulakan pada Julai tahun sama.
“Saya turut menghargai peruntukan RM2 juta oleh MBPP bagi menaik taraf bahagian makan dan minum di Tapak Penjaja Sementara (TPS) Hill Trace, dengan kerja-kerja dijangka mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan,” katanya lagi.