Jalan Cangkat Tembaga siap dinaik taraf, beri keselesaan kepada penduduk setempat

Admin

SERI DELIMA – Kerja-kerja menaik taraf Jalan Cangkat Tembaga, di sini yang dimulakan sejak tahun 2020 kini telahpun siap sepenuhnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syeerlena Abdul Rashid berkata bahawa kerja menaik taraf jalan sepanjang 142 meter (m) itu menelan kos kesuluruhan berjumlah RM20,074.

“Penurapan jalan ini dilaksanakan pada tahun 2020 dan 2021 menggunakan peruntukan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) iaitu Encik Quah Boon Lim dan Cik Tan Soo Siang.

“Kerja-kerja penurapan dijalankan secara berfasa susulan penularan pandemik COVID-19 yang mana Fasa 1 adalah sepanjang 42m dan dilaksanakan pada tahun 2020 dengan kos sebanyak RM5,996.50.

Jalan Cangkat Tembaga yang telah siap dinaik taraf kini.

“Sementara itu, Fasa 2 projek ini dijalankan pada tahun 2021 melibatka kerja-kerja penurapan jalan sepanjang 100m dengan kos berjumlah RM14,077.50,” katanya pada sidang media dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBPP, Quah Boon Lim dan Tan Soo Siang; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Island Park, Dr. Tan Seang Aun serta wakil-wakil syarikat kontraktor.

Tambah Syeerlena, penaiktarafan Jalan Cangkat Tembaga adalah penting memandangkan kawasan tersebut merupakan lokasi tumpuan terutamanya untuk aktiviti pendakian dan tempat ibadat.

“Kawasan ini unik kerana di sini terletaknya Bukit Hijau yang boleh dikatakan agak popular dalam kalangan pendaki sama ada dalam kalangan penduduk tempatan mahupun luar.

“Tambahan pula, di sini terletaknya dua buah tokong dan sebuah kuil yang sering dikunjungi ole penganut masing-masng sekali gus menyebabkan kawasan ini berdepan masalah kekurangan tempat letak kereta.

“Oleh itu, penaiktarafan jalan ini sudah pasti akan memberikan kelegaan kepada penduduk setempat kerana pengunjung luar kini mempunyai tempat parkir khas dan tidak perlu lagi meletakkan kenderaan mereka di kawasan kejiranan di sini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Soo Siang berkata bahawa keadaan Jalan Cangkat Tembaga sebelum ini mengalami kerosakan yang agak teruk dan dibimbangi akan mengancam keselamatan terutamanya penduduk setempat.

“Keadaan jalan ini sangat teruk termasuk mengalami kerosakan dan air akan bertakung sewaktu hujan lebat dan keadaan ini menimbulkan ketidakselesaan serta mendatangkan risiko keselamatan kepada pengguna terutama pemandu motosikal.

“Selepas menerima aduan daripada pejabat YB Syeerlena untuk selesaikan isu parkir, maka kami buat keputusan untuk menaik taraf jalan ini supaya pengunjung menyedari bahawa di kawasan ini terdapat parkir khas untuk mereka,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Seang Aun pula berkata bahawa sikap prihatin wakil rakyat setempat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membolehkan penduduk menikmati kemudahan jalan yang selesa kini.

“Terima kasih kepada YB (Syeerlena), Ahli-Ahli Majlis (MBPP) dan Kerajaan Negeri kerana telah menaik taraf jalan Jalan Cangkat Tembaga yang sangat teruk sebelum ni.

“Atas sikap keprihatinan semua pihak memboleh kami menikmati kemudahan jalan yang lebih baik sekarang ini,” ujarnya ringkas.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADUN