Jalur Gemilang ‘gergasi’ hiasi premis perkakasan

Admin
img 0110 JASON H’ng Mooi Lye (dua dari kiri) bersama-sama beberapa individu lain mengibarkan Jalur Gemilang di perkarangan kedai perkakasan berkenaan di sini pada petang tadi.

BERTAM – Susulan kontroversi pemasangan Jalur Gemilang terbalik di sebuah premis perkakasan komersial dekat Taman Bertam Permata baru-baru ini, langkah proaktif diambil dengan memasang Jalur Gemilang bersaiz gergasi 10 kaki x 20 kaki hari ini.

img 0095
JASON H’ng Mooi Lye dalam sidang media berkaitan di sini pada petang tadi.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, mana-mana pihak yang secara tidak sengaja memasang bendera negara dengan cara yang salah sewajarnya diperbetul oleh mereka yang berpengetahuan.

“Sekiranya seseorang secara tidak sengaja memasang Jalur Gemilang secara salah, sebagai seorang yang mencintai negara, kita patut memperbetul perkara yang salah itu.

“Pemasangan Jalur Gemilang ini juga berfungsi sebagai tunjuk ajar tentang cara pemasangan yang betul sempena Kempen Kibarkan Jalur Gemilang dan Sambutan Bulan Kemerdekaan yang bermula 1 Ogos hingga 16 September nanti,” jelasnya ketika mengadakan lawatan ke premis berkaitan di sini pada 12 Ogos 2025.

Lay Hock Peng yang juga Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, turut sertai lawatan tersebut.

Dalam pada itu, Mooi Lye memberitahu bahawa beliau enggan mengulas lanjut mengenai insiden bendera terbalik di premis tersebut memandangkan kes masih dalam siasatan polis.

Beliau turut memuji usaha pemasangan Jalur Gemilang gergasi yang menurutnya bukan sahaja membawa mesej patriotisme, malah menyemai semangat muhibah dalam kalangan masyarakat majmuk di Pulau Pinang.

Pemilik premis perkakasan yang ditemui kemudiannya antara lain berkata bahawa sejak 11 tahun lalu beliau sentiasa memasang Jalur Gemilang di premisnya setiap kali Bulan Kemerdekaan, namun tidak menyangka pada kali ini pekerjanya tersilap memasangnya sehingga tular di media sosial.

“Ini sesuatu yang tidak disengajakan… belum sempat dipasang di premis, apabila sedar bendera itu salah, terus diperbetul dan dipasang dengan betul.

“Kalau kita cintakan Malaysia, tentu akan pasang lagi walaupun takut tersalah pasang,” katanya sambil akur dengan proses siasatan pihak berkuasa.

Terdahulu, Mooi Lye yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi turut mengedarkan 500 Jalur Gemilang kepada orang ramai di kawasan tersebut.

Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB