Jambatan lengkung Jalan Sg. Dua bendung risiko banjir kilat

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

BATU UBAN – Pembinaan sebuah jambatan lengkung atau arch bridge di Jalan Sungai Dua (berhadapan Restoran Bali-Bali) di sini dipercayai dapat membendung kejadian banjir kilat yang sering melanda kawasan berkenaan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, melalui penilaian yang dijalankan, Kerajaan Negeri bersetuju untuk melaksanakan projek menaiktaraf sistem saliran di Jalan Sungai Dua.

“Ini termasuk membina sebuah jambatan lengkung bagi mengurangkan risiko kejadian banjir di sini,” katanya pada sesi lawatan tapak projek berkenaan di sini baru-baru ini.

Turut sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Dr. T. Jayabalan, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pulau Pinang, Ir. Salleh Awang dan Jurutera Daerah Timur Laut bagi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Haslinda Mohd. Hamran.

Menurut Kon Yeow, selain pembinaan jambatan lengkung, projek bernilai RM4.4 juta tersebut juga bakal membabitkan pembesaran dan pelebaran sungai serta pembinaan beberapa saliran longkang merentasi laluan bawah tanah.

“Apabila siap kelak, sistem saliran di Jalan Sungai Dua akan menjadi lebih sempurna terutama pada musim-musim hujan, sekaligus dapat mengurangkan masalah banjir kilat yang sering berlaku di sini,” jelas beliau yang juga ADUN Padang Kota.

Tambah Kon Yeow, bermula 15 Februari 2016 sehingga 5 Februari 2017, laluan di Jalan Sungai Dua bakal dilencongkan bagi membolehkan kerja-kerja pengalihan kabel-kabel utiliti dilaksanakan.

“Ini termasuk kerja-kerja tanah dan pembinaan cerucuk jambatan lengkung yang memerlukan penelitian khusus,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berharap para pengguna jalanraya serta penduduk di kawasan terlibat dapat bersabar kerana beberapa kesulitan mungkin dihadapi terutama kesesakan lalulintas sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

“Lanjutan itu, kawasan parkir berdekatan bangunan komersil, Vanda Yellow House turut akan terjejas dan tapak parkir baharu percuma akan disediakan di hadapan Restoran BaliBali bagi kemudahan orang ramai.

“Saya berharap agar orang ramai dapat mematuhi arahan-arahan papan tanda di kawasan tersebut bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya.}