Janji cat semula rumah pangsa Taman Tun Sardon hampir dikotai

SERI DELIMA – Kerja-kerja mengecat kesemua 26 blok rumah pangsa di Taman Tun Sardon dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi, sebagai mengotakan janji bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor, mendiang Karpal Singh menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada tahun 2013 dulu.

Anaknya, Jagdeep Singh Deo yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan memberitahu, kerja-kerja berwajib yang dimulakan sejak bulan Mei tahun lepas itu menelan peruntukan kira-kira RM1 juta.

“Ini merupakan jumlah terbesar yang diperuntukkan oleh Jabatan Perumahan Negeri.

“22 blok telah siap pada akhir tahun 2014 dan pada hari ini, fasa terakhir baki empat blok akan bermula dengan kos RM198,000,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat pada kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Seorang lagi anak Karpal, Ramkarpal Singh yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, R.S.N Rayer (ADUN Seri Delima) dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Mohamed Yusoff Mohamed Noor turut serta pada sidang media itu.

Jagdeep memberitahu, sebanyak 80 peratus kos fasa akhir projek tersebut ditanggung oleh Kerajaan Negeri, manakala baki 20 peratus ditanggung oleh Rayer.

“Kami (Kerajaan Negeri) akan terus melaksanakan apa yang kami cakap dan menyampaikan janji-janji kami kepada rakyat, yang merupakan sesuatu yang tidak dapat dikotakan sendiri oleh Kerajaan Persekutuan,” tegas Jagdeep.

Serentak itu, beliau turut menggesa Kerajaan Pusat supaya membalas surat rasminya bertarikh 19 Jun lalu, yang menuntut penjelasan sama ada Putrajaya mahu meneruskan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) atau sebaliknya. Ini kerana, tambahnya, TP1M tidak lagi disebut dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), sedangkan kelewatan meluluskan 118 lagi permohonan di bawah skim tersebut sehingga kini adalah disebabkan amalan tadbir urus Kerajaan Pusat sendiri.

“Kita tidak boleh meluluskan HAPPY! (Program Bantuan Perumahan Rakyat Pulau Pinang) untuk membiayai kos yang sepatutnya ditanggung penduduk, selagi mana proses kelulusan TP1M, jika masih ada (selepas RMK-11), ini terus dilewatlewatkan.

“Terdapat 118 permohonan tertunggak (membabitkan) projek kos rendah dan sederhana rendah di Pulau Pinang di bawah TP1M ini, dengan jumlah anggaran kirakira sekitar RM28 juta,” jelas Jagdeep.