Jaringan Persahabatan Harmoni Pulau Tikus himpun 20 institusi agama, perkukuh perpaduan komuniti

Admin
img 20251025 wa0007

PULAU TIKUS — Sebanyak 20 institusi keagamaan dalam kawasan Pulau Tikus hari ini bergabung membentuk Jaringan Persahabatan Harmoni Pulau Tikus, sebuah platform baharu yang bertujuan memupuk persahabatan dan persefahaman antara penganut pelbagai agama di kawasan berkenaan.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng berkata, penubuhan jaringan itu merupakan usaha memperkukuh hubungan antara agama dan membina kepercayaan merentasi pelbagai tradisi kepercayaan masyarakat.

 

“Institusi yang terlibat mewakili agama Islam, Kristian, Buddha, Tao, Hindu dan Baháʼí.

 

“Melalui Jaringan Harmoni ini, kita ingin memastikan setiap komuniti dapat berinteraksi dalam semangat saling menghormati dan harmoni,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

img 20251025 wa0010
JOSHUA Woo Sze Zeng (kanan sekali) mengadakan perbincangan dengan salah seorang perwakilan yang hadir pada majlis berkaitan di sini.

Menurut Sze Zeng, inisiatif berkenaan turut akan disusuli dengan siri acara antara agama termasuk persembahan kebudayaan, pameran seni dan forum perbincangan yang memberi peluang kepada orang ramai untuk memahami kepelbagaian amalan keagamaan di negara ini.

 

Tambahnya lagi, usaha ini dilihat penting dalam memperkukuh keharmonian sosial pada ketika dunia semakin berdepan cabaran perpecahan dan ketegangan antara masyarakat.

 

Matlamatnya adalah untuk mengukuhkan keharmonian masyarakat, yang merupakan asas kepada pembinaan negara.

 

“Kita tidak boleh memilih bangsa atau agama tempat kita dilahirkan, tetapi kita boleh memilih untuk beramah mesra dan membina negara ini bersama,” katanya.

 

Gambar: ADUN