“Jawapan saya sama, jumpa di mahkamah”

Admin
867d79c4 2d4a 482a bf88 b286e5b87e9c KETUA Menteri memberi respons sedemikian dalam sidang media di Komtar pada 12 November 2025.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mempertimbang sama ada untuk menubuhkan pasukan guaman atau sebaliknya, hanya selepas menerima notis tuntutan daripada Kerajaan Negeri Kedah.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberi respons sedemikian ketika diminta mengulas iltizam Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang dilaporkan berkata bahawa Kedah dalam fasa akhir memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi memulakan tindakan perundangan berhubung isu kedudukan, nilai pajakan serta hubungan negeri tersebut dengan Pulau Pinang.

“Adalah menjadi keperluan untuk menerima (Notis Tuntutan) daripada pihak berkenaan bagi mengetahui perkara apa yang mereka mahu (tuntut terlebih dahulu).

“Jika ada sebarang Notis Tuntutan yang diterima, perkara pertama adalah kita akan berbincang dengan Penasihat Undang-Undang serta pasukannya di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri.

“Jika di sana nanti memerlukan penubuhan pasukan guaman, akan diputuskan kelak atas nasihatnya (Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri),” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi kepada pemberita di Komtar pada 12 November 2025.

Di samping itu, Kon Yeow menyatakan bahawa sejak beberapa tahun lepas, beliau telah memberi respons yang sama iaitu penyelesaian isu berbangkit tersebut di mahkamah, apabila ditanya mengenai hasrat Muhammad Sanusi tersebut.

“Jawapan saya sama saja (iaitu) jumpa di mahkamah,” responsnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Pada 10 November lepas, dilaporkan Muhammad Sanusi menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Kedah dalam fasa akhir memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi memulakan tindakan perundangan berhubung isu kedudukan serta hubungan negeri itu dan Pulau Pinang.

Beliau turut dilaporkan berkata bahawa langkah itu adalah susulan keprihatinan Sultan Kedah yang menzahirkan keperluan supaya isu berkenaan diperjelas secara telus termasuk perkara berkaitan pajakan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT