Jelajah Ketua Menteri ❤️PENANG dekati denyut nadi rakyat

KETUA Menteri (kiri sekali) sambil diiringi wakil-wakil rakyat tempatan menyantuni serta menerima cenderamata kenang-kenangan berupa replika kereta api funikular Bukit Bendera hasil buatan tangan Omar Juree, 64, semasa jerayawara ke Kampung Masjid Jalan Zoo, Air Itam pada 8 September 2022.

AIR ITAM – Dengan tema ❤️PENANG, rombongan Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow turut menjelajah ke Kampung Masjid Al-Qadree dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam, Jalan Zoo Satu di sini pada 8 September 2022.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; beberapa Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Penghulu Kawasan Bukit Gelugor, Nasrizal Nasib turut sertai jerayawara tersebut.

KETUA Menteri (tengah) menyaksikan majlis sumbangan peralatan berkaitan dan kerusi meja  kepada Mahazir Daroh (tiga dari kanan) semasa Jelajah Ketua Menteri ❤️PENANG Ke KADUN Air Itam di Kampung Masjid Jalan Zoo di sini tadi.

Pada majlis sama, Kon Yeow turut menyaksikan Soon Siang menyampaikan sumbangan dua unit alat pemadam api, loceng kecemasan (2) dan kelengkapan kerusi meja untuk kegunaan dewan serbaguna di sini kepada Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Masjid Jalan Zoo Air Itam, Mahazir Daroh dan Zainudin Mat (Pengerusi Kariah Masjid Al-Qadree Jalan Zoo Air Itam).

Kon Yeow dalam kenyataan bertulis kepada Buletin Mutiara antara lain memberitahu bahawa pihaknya berharap program Jelajah ❤️PENANG akan memberi peluang kepada Kerajaan Negeri hari ini untuk mendekati denyut nadi rakyat kebanyakan di Pulau Pinang.

“Penyampaian unit alat pemadam api dan loceng kecemasan yang akan dipasang di rumah Ketua Kampung dan di gelanggang sepak takraw… (akan menjadi) langkah pencegahan awal yang mungkin boleh membantu serta melindungi para penduduk di sini.

“Diharapkan pemasangan alatan keselamatan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya, sekali gus membantu para penduduk setempat untuk lebih peka terutama ketika berlakunya kecemasan,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Sebelum itu, jerayawara Kon Yeow serta rombongannya turut meluangkan masa menyempurnakan acara perasmian papan tanda ❤️PENANG di Bulatan Bukit Bendera di sini.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ALISSALA THIAN