Ketua Menteri puji sumbangan pelbagai pihak wujudkan Gim Rakyat Sungai Gelugor

Admin
(Dari kiri) SYERLEENA Abdul Rashid, Ketua Menteri, Ramkarpal Singh dan Soon Lip Chee turut mengambil kesempatan menggunakan kelengkapan senam semasa upacara perasmian pembukaan Gimnasium Rakyat Sungai Gelugor dekat KADUN Seri Delima di sini pada 8 September 2022.

SERI DELIMA – Gimmasium Rakyat Sungai Gelugor di sini secara rasminya dibuka pada hari ini, hasil sumbangan dana daripada Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh serta beberapa pihak lain.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi sendiri menyempurnakan acara perasmian pembukaan gim tersebut.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid, Ahli-ahli Majlis bagi MBPP, Pegawai Daerah Timur Laut (DTL), Rosli Halim dan Ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

Dalam kenyataan bertulis kepada Buletin Mutiara, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Tanah Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Timur Laut (DTL) kerana memberi kebenaran tempoh guna tanah selama 10 tahun untuk diwujudkan Gim Rakyat Sungai Gelugor.

Difahamkan, Gim Rakyat Sungai Gelugor yang diperbuat daripada kontena 40 kaki disumbangkan oleh Persatuan Kebajikan Insan Pulau Pinang (Insaniah) dengan nilai RM8,000, manakala kontena 20 kaki pula disumbangkan oleh Persatuan Kebajikan Insan Pulau Pinang, Kelab Bola Sepak Sungai Gelugor dan Masjid Jamek Sungai Gelugor.

Ramkarpal menyumbang sebanyak RM16,300 untuk kerja-kerja naik taraf dan pengubahsuaian kontena, menakala Lip Chee yang juga ADUN Bagan Jermal menyumbang alatan gim bernilai RM10,000.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Muhamad Khairul Mohd. Ali dan persatuan bukan kerajaan (NGO), Mutiara Bersatu masing-masing turut menyumbang RM3,000 dan RM2,000.

Waktu operasi bagi gim tersebut bermula jam 5 petang hingga 10 malam pada setiap hari.

KETUA Menteri (depan sekali) bersama-sama sekalian pemimpin Kerajaan Negeri turut meluangkan masa melawat Kebun Kejiranan MPKK Island Park, semasa Jelajah Ketua Menteri ❤️PENANG ke KADUN Seri Delima di sini pada petang tadi.
KETUA Menteri (tiga dari kanan) bersama-sama barisan pemimpin Kerajaan Negeri lain turut menyempurnakan acara penanaman anak pokok Garcinia Subelliptica di taman rekreasi Island Park di sini tadi.

Jelajah Ketua Menteri ❤️PENANG ke Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima sebelum pada itu turut melawat Kebun Kejiranan di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Island Park.

Di sana, Kon Yeow turut mengambil peluang menanam anak pokok Garcinia Subelliptica yang lebih dikenali sebagai ‘Happiness Tree’ di taman rekreasi tersebut.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & DARWINA MOHD. DAUD
Video : ALISSALA THIAN