BANGI – Usaha memperluas pasaran produk tempatan ke luar Pulau Pinang terus membuahkan hasil apabila Program Jelajah Usahawan Pulau Pinang di Universiti Kebangsaan Malaysia (@UKM), Bangi, Selangor mencatatkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM164,420 sepanjang tiga hari penganjuran.
Program yang berlangsung dari 30 Julai hingga 1 Ogos 2026 itu dianjurkan oleh Pejabat Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan dengan melibatkan penyertaan 24 usahawan Pulau Pinang.

Exco, Dato’ Rashidi Zinol berkata, prestasi jualan menunjukkan peningkatan memberangsangkan sepanjang program berlangsung apabila nilai jualan meningkat daripada RM30,325 pada 30 Julai kepada RM57,348 pada 31 Julai, sebelum melonjak kepada RM76,747 pada hari terakhir.
“Secara keseluruhan, jualan yang direkodkan sepanjang tiga hari adalah sebanyak RM164,420, sekali gus membuktikan potensi produk usahawan Pulau Pinang untuk menembusi pasaran lebih luas di luar negeri,” ujarnya.
Difahamkan, penganjuran program berkenaan turut menyediakan ruang kepada usahawan memperkenal produk, meningkatkan pendedahan jenama serta membina rangkaian pasaran baharu, khususnya dalam kalangan komuniti universiti dan masyarakat setempat.

Mengulas lanjut, Rashidi memaklumkan bahawa inisiatif berkenaan adalah selari dengan usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui peluasan akses pasaran, promosi serta peluang pemasaran yang dapat membantu meningkatkan pendapatan dan mengembangkan perniagaan usahawan tempatan.
“Pencapaian jualan melebihi RM164,000 dalam tempoh tiga hari turut mencerminkan sambutan positif terhadap produk keluaran usahawan Pulau Pinang.
“Pada masa sama, penganjuran secara berterusan juga dapat membantu mewujudkan lebih banyak peluang padanan pasaran serta memperkukuh daya saing produk usahawan Pulau Pinang pada peringkat nasional,” katanya.
Sebagai rekod, Program Jelajah Usahawan merupakan antara pendekatan yang digunakan Kerajaan Negeri untuk membantu usahawan meneroka pasaran baharu melalui penganjuran program di luar Pulau Pinang.

Gambar: EXCO