GEORGE TOWN – Laluan pejalan kaki dan bahu jalan di Gat Lebuh Macallum, Lintang Macallum 2 serta Gat Lebuh Cecil bakal dinaik taraf menerusi projek bernilai RM415,050 bagi meningkatkan aspek keselamatan, keselesaan dan kemudahan untuk penduduk setempat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying berkata, inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan awam berteraskan reka bentuk sejagat, khususnya bagi memudahkan aksesibiliti warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak serta keluarga dalam menjalani urusan harian.
Menurut beliau, kawasan Macallum merupakan antara kawasan padat di Pulau Pinang yang mana komuniti di sini telah lama bertapak dan mempunyai kemudahan seperti sekolah, pasar, kedai, padang rekreasi serta taman permainan yang menjadi tumpuan penduduk.
“Projek ini akan menaik taraf bahu jalan dan laluan pejalan kaki supaya lebih selamat dan memenuhi prinsip reka bentuk sejagat, yang membolehkan kemudahan digunakan oleh semua golongan.
“Ini penting kerana kemudahan awam mesti boleh digunakan oleh semua, termasuk warga emas, orang kurang upaya, kanak-kanak dan keluarga,” ujarnya pada sidang media di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Jurutera Kanan Jalan, Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Mohd. Nazrul Nizam Nasri; serta wakil kontraktor NZ Ideal Enterprise.

Mengulas lanjut, Hui Ying memberitahu bahawa penyediaan laluan pejalan kaki yang lebih selamat juga merupakan sebahagian daripada persediaan menghadapi masyarakat menua, selain memastikan warga emas dapat terus menjalani kehidupan dalam komuniti secara selamat, aktif dan berdikari.
Tambah beliau, penambahbaikan berkenaan turut penting dalam persediaan menghadapi pembangunan pengangkutan awam masa hadapan, khususnya apabila projek LRT Laluan Mutiara siap kelak.
“Pengangkutan awam yang baik bukan bermula apabila kita masuk ke dalam tren tetapi ia bermula apabila kita keluar dari rumah dan berjalan menuju ke stesen.
“Sebab itu kemudahan berjalan kaki dan kebolehcapaian perlu menjadi sebahagian daripada perancangan bandar kita,” katanya.
Dalam pada itu, Hui Ying memaklumkan bahawa pembangunan baharu perlu dilaksanakan secara seimbang supaya komuniti lama seperti di Macallum tidak ketinggalan, termasuk dari segi penyediaan kemudahan asas yang berkualiti.
“Projek ini mungkin kecil berbanding projek infrastruktur bernilai berbilion ringgit, tetapi bagi penduduk yang menggunakan laluan ini setiap hari, kesannya sangat nyata.
“Ukuran sebenar pembangunan bukan sebesar mana projek itu, tetapi sejauh mana ia menjadikan kehidupan rakyat lebih mudah, lebih selamat dan lebih bermaruah,” jelasnya.

Sementara itu, Yuee Harng ketika ditemui merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atas peruntukan yang diberikan termasuk kepada Menteri KPKT, Nga Kor Ming dan Hui Ying atas sokongan terhadap pelaksanaan projek tersebut.
“Projek ini membuktikan komitmen dan sokongan berterusan Kerajaan Persekutuan kepada negeri, sekali gus memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara langsung oleh rakyat,” katanya.
Difahamkan, kerja-kerja menaik taraf bahu jalan dan laluan pejalan kaki itu melibatkan tiga lokasi, iaitu Gat Lebuh Macallum, Lintang Macallum 2 dan Gat Lebuh Cecil, dengan penekanan terhadap kemudahan yang lebih selamat, selesa dan mudah digunakan semua golongan.
Antara komponen utama adalah menaik taraf laluan pejalan kaki berukuran 1.5 meter (m) lebar sepanjang 500m dengan kemasan konkrit ‘broom finish’ selain turut melibatkan pelebaran jalan 2.0m lebar sepanjang 160m yang mana kerja-kerja telahpun dimulakan pada 20 Julai lalu dan dijangka siap pada 19 November 2026.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: LEE JIA YING