Jelas status sebenar TP1M, permohonan rakyat

GEORGE TOWN – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menjelaskan status sebenar Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) memandangkan perkara tersebut tidak dinyatakan dalam perbentangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) baru-baru ini.

Jagdeep berkata, pada 21 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak telah mengumumkan bahawa pembekalan perumahan mampu milik, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan diteruskan, namun tidak menyebut mengenai program penyelenggaraan projek perumahan, TP1M.

“Adakah program TP1M ini masih diteruskan? Jika tidak, apa akan berlaku pada permohonan yang sedang menunggu kelulusan peruntukan TP1M?

“Mereka (pemohon) ini memerlukan dana untuk membaik pulih dan menyelenggara bangunan kediaman mereka,” tegasnya pada Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang 2015 di sini baru-baru ini.

Sejumlah 10 projek perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah menerima sumbangan bagi Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang atau Housing Assistance Program for Penang, Yes! (HAPPY!) dengan dana berjumlah RM1,705,155.50 pada majlis berkenaan.

Menurut Jagdeep, bagi Pulau Pinang sahaja, sejumlah 144 permohonan TP1M telah dibuat. Daripada jumlah tersebut, hanya 26 sahaja diluluskan sehingga kini dan baki 118 permohonan lagi dengan anggaran dana diperlukan sebanyak RM28 juta masih belum diluluskan.

“Di bawah TP1M, Putrajaya (Kerajaan Persekutuan) akan menanggung 90 peratus dari kos penyelenggaraan perumahan awam kos rendah, manakala 70 peratus bagi perumahan kos sederhana rendah sekiranya permohonan dipohon berjaya.

“Kos-kos ini termasuk menyelenggara lif, pembaikan am seperti bumbung dan tangki air, mengecat semula bangunan kediaman dan penaiktarafan sistem pendawaian elektrik, perpaipan serta perparitan,” ujar beliau.

Jagdeep memberitahu bahawa beliau telah menulis surat secara rasmi kepada Datuk Ahmad Zaki Ansore Mohd. Yusof , Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri dan berharap dapat memberi maklum balas yang positif.

“Kami (Kerajaan Negeri) sedia setiap masa untuk sama-sama membantu menyediakan dana tambahan penyelenggaraan bagi baki 10 peratus (bagi kos rendah) dan 30 peratus (kos sederhana rendah) lagi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa, pada tahun 2013, sejumlah RM54,466.10 telah diberikan kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) Taman Sungai Batu, Bayan Lepas di Daerah Barat Daya (DBD) dan Perbadanan Pengurusan (MC) Flat Haji Mohd. Amin, Permatang Pauh di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

“Manakala pada 2014, sejumlah RM2.412 juta dibelanjakan, melibatkan 12 projek perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah di bawah HAPPY!

“Tahun ini, kita membelanjakan RM2.092 juta melibatkan 11 projek perumahan” katanya.

Berikut adalah senarai penerima sumbangan HAPPY! bagi tahun 2015:-

1. Perbadanan Pengurusan (MC) Blok O-T Apartmen Permata, Bandar Perda, SPT (Kos Rendah) – RM122,800.00

2. Perbadanan Pengurusan (MC) Blok A-N Apartmen Permata, Bandar Perda, SPT (Kos Rendah) – RM239,000.00

3. Badan Pengurusan (MC) Pangsapuri Taman Sri Janggus, Alma, SPT (Kos Rendah) – RM138,150.00

4. Perbadanan Pengurusan (MC) Blok A, B & C Taman Bukit Jambul, daerah Timur Laut (DTL) (Kos Rendah) – RM163,600.00

5. Badan Pengurusan Bersama (JMB) Mutiara Perdana 1, Bayan Lepas, DBD (Kos Rendah) – RM124,500.00

6. Perbadanan Pengurusan (MC) Desa Sri Ara, Bayan Lepas, DBD (Kos Rendah) – RM27.555.50

7. Perbadanan Pengurusan (MC) Taman Tun Hussein Onn, Seberang Jaya, SPT (Fasa 1) (Kos Rendah) – RM277,250.00

8. Perbadanan Pengurusan (MC) Taman Pauh Indah (Fasa 2), Permatang Pauh, SPT (Kos Sederhana Rendah) – RM93,000.00

9. Perbadanan Pengurusan (MC) Taman Pauh Indah (Fasa 4), Permatang Pauh, SPT (Kos Sederhana Rendah) – RM253,800.00

10. Badan Pengurusan Bersama (JMB) Tingkat Nusantara, Jelutong, DTL (Kos Sederhana Rendah) – RM265,500.00

11. Perbadanan Pengurusan (MC) Taman Desa Genting, Balik Pulau, DBD (Kos Sederhana Rendah) – RM387,000.00