Indeks jenayah Daerah Timur Laut menurun – KPD

GEORGE TOWN – Ketua Polis Daerah (KPD) Timur Laut, Asisten Komisioner (ACP), Mior Faridalathrash Wahid memberitahu, sehingga 8 Julai tahun ini menyaksikan indeks jenayah Daerah Timur Laut umpamanya menurun sehingga 26.1 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

“Kadar jenayah di Pulau Pinang sekarang dalam trend menurun.

“Untuk Daerah Timur Laut, sehingga 8 Julai (2015) jika dibandingkan dengan tempoh sama (tahun 2014), menurun sebanyak 26.1 peratus,” jelas beliau pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, Mior Faridalathrash selaku wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Panglima Markas Briged Keenam, Brigedier Jeneral Mardzuki Muhammad dari Kem Sungai Layar, Sungai Petani masing-masing hadir bagi menerima sumbangan Aidilfitri berjumlah RM10,000 daripada Kerajaan Negeri, yang disampaikan oleh Guan Eng sendiri.

Mior Faridalathrash dan Mardzuki masingmasing merakam penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Negeri.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Wong Hon Wai (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri) dan Dato’ Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) turut menyaksikan majlis sumbangan itu.

Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri meneruskan tradisi memberi sumbangan kepada PDRM dan ATM sebagai menghargai pengorbanan pasukan berkaitan dalam memastikan tanah air terus aman dan selamat.

“Ini sebagai satu penghargaan atas pengorbanan mereka, maka pada tahun inipun kita (Kerajaan Negeri) teruskan tradisi (memberi sumbangan Aidilfitri kepada PDRM dan ATM) ini,” jelas beliau.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng pada bulan Januari lepas turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Polis Negeri, Datuk Wira Abdul Rahim Hanaf kerana berjaya menurunkan indeks jenayah negeri bagi tahun 2014 sebanyak 5.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.