Jendela Pelanggan MPPP diteruskan

Admin
SUASANA interaksi mesra dan langsung antara orang awam dan pegawai MPPP dalam Program Jendela Pelanggan di sini baru-baru ini.
SUASANA interaksi mesra dan langsung antara orang awam dan
pegawai MPPP dalam Program Jendela Pelanggan di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN Program Jendela Pelanggan tetap akan diteruskan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada hari Jumaat minggu ketiga setiap bulan demi mendapat reaksi langsung orang awam di negeri berkenaan.

Penolong Pegawai Tadbir (Perhubungan Awam) MPPP, Roslinawati Mohd. Rashid berkata, orang awam lebih berminat menghubungi MPPP melalui e-mel atau telefon berbanding datang ke aras empat, Komtar, di sini untuk bertemu secara langsung dengan pegawai berwajib.

“Kita (MPPP) sedar, orang ramai lebih berminat menggunakan e-mel atau hubungi talian yang kita sediakan, tetapi sesetengah yang lain lebih berpuas hati apabila datang ke Komtar dan berinteraksi secara langsung dengan pegawai,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, program bulanan baru-baru ini menerima enam aduan daripada orang awam.

“Aduan yang diterima antaranya isu dahan pokok tak dicantas, anjing liar di kawasan perumahan awam,” ujarnya.

Beliau memberitahu, semua aduan kes yang tidak membabitkan teknikal akan diselesaikan dalam masa tiga hari. Manakala kes yang membabitkan teknikal, selalunya dikeluarkan notis berwajib dan langkah tersebut akan dimaklumkan kepada pelanggan berkenaan.

Jendela Pelanggan diperkenalkan pada 11 Ogos 2001, iaitu setiap Sabtu bermula pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari dan apabila Sabtu ditetapkan sebagai cuti pada 2005, program itu diubah pada Jumaat dalam waktu bekerja.