Mangsa ribut kencang dibantu segera

Admin

 

ABDUL Halim Hussain (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri kepada salah seorang mangsa ribut di sini sambil ditemani Mohd. Tuah Ismail (empat dari kiri) dan Halil Sabri Hamid (kiri sekali) baru-baru ini.
ABDUL Halim Hussain (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan
Kerajaan Negeri kepada salah seorang mangsa ribut di sini sambil
ditemani Mohd. Tuah Ismail (empat dari kiri) dan Halil Sabri Hamid
(kiri sekali) baru-baru ini.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

BALIK PULAUSpeaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdul Halim Hussain barubaru ini mengadakan lawatan dan ziarah ke tiga buah kampung dilanda ribut kencang di sini.

Beliau yang mengadakan lawatan dan ziarah bersama Pegawai Penyelaras Kawasan DUN (PPK) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail dan PPK Teluk Bahang, Halil Sabri Hamid turut menyampaikan sumbangan pendahuluan Kerajaan Negeri kepada mangsa-mangsa berjumlah RM20,000.

“Sumbangan tersebut adalah merangkumi 32 buah rumah di ketiga-tiga kampung.

“Selain itu, Ketua Menteri turut memberi sumbangan peribadi juga dari Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya (PDTBD) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujar Abdul Halim di sini baru-baru ini.

Bersempena itu, beliau turut meninjau kerja-kerja pemotongan dahan-dahan pokok, pembersihan kawasan terjejas serta menyantuni mangsa-mangsa ribut berkenaan.

Baru-baru ini, sebanyak 22 buah rumah di Kampung Terang, Kampung Perlis (6) dan Kampung Genting (4) rosak teruk dan musnah rentetan ribut kencang.

“Kalau kita tengok, pelbagai kerosakan dan kemusnahan yang terpaksa ditanggung mangsa.

“Alhamdulillah, tindakan pantas anggota Penguatkuasa (Majlis Perbandaran Pulau Pinang) dan pimpinan masyarakat serta negeri sekurang-kurangnya dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh mangsa,” tambah Abdul Halim yang turut berterima kasih kepada pegawai-pegawai PDTBD, JKM dan MPPP yang turut serta membantu mangsa.