PULAU BETONG – Impian penduduk dan ‘wira merah’ setempat untuk memiliki aset penyelamat yang lebih lincah serta berkesan akhirnya menjadi kenyataan apabila Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik, menyumbangkan sebuah jentera bomba baharu.

Dalam ucapan pada majlis penyerahan jentera berkaitan, Muhammad Bakhtiar berkata bahawa pihaknya berharap Pasukan Bomba Sukarela (PBS) tempatan kini dapat beroperasi dengan lebih pantas dan efisien, khususnya di kawasan lorong kampung yang sempit.
Menurut beliau, jentera bomba baharu yang bersaiz lebih kecil dan kompak itu merupakan aset strategik yang sesuai untuk melaksanakan kerja-kerja awal penyelamatan di kawasan desa apabila berlaku bencana seperti banjir.
“Bagi saya, saiz jentera bomba baharu ini sebenarnya lebih sesuai untuk memasuki lorong-lorong kampung bagi menjalankan kerja-kerja awal penyelamatan,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada PBS Gertak Sanggul dan PBS Sungai Pinang yang turut memainkan peranan penting bersama-sama PBS Pulau Betong serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam menghulurkan bantuan kecemasan pada peringkat tempatan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Pg. KB I Joh Sagun Francis, turut hadir pada majlis berkaitan.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Bakhtiar turut mencadangkan agar pihak sekolah mengambil inisiatif untuk berkolaborasi dengan balai bomba setempat bagi melaksanakan program pendedahan berkaitan aktiviti kebombaan kepada para pelajar.
Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB