GEORGE TOWN – Jeti di pintu masuk utama ke Taman Negara Pulau Pinang akhirnya siap dinaik taraf sekali gus dilihat dapat melonjakkan daya tarikan pelancongan di kawasan berkenaan.
Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, selepas enam tahun menunggu akhirnya jeti tersebut siap dibaiki dan ia memberi kelegaan bukan sahaja kepada pengusaha bot di kawasan itu malahan para pengunjung.
Kejayaan menyiapkan projek penaiktarafan ini membuktikan usaha berterusan dalam memastikan infrastruktur pelancongan negeri berada dalam keadaan terbaik.
“Saya berasa lega apabila jeti ini akhirnya siap dengan wajah baharu dan ia pastinya memberi nilai tambah kepada pengunjung dan pengusaha bot di sini,” ujarnya ketika dihubungi pagi ini.

Tambahnya lagi, cadangan agar Kerajaan Persekutuan mempertimbang pengenaan kutipan yuran masuk ke taman tersebut wajar diberi perhatian.
Caj atau yuran masuk ke Taman Negara tersebut boleh digunakan bagi tujuan penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan sedia ada.
“Langkah ini bukan sahaja dapat memastikan persekitaran lebih terjaga, malah mampu meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelawat yang kian bertambah dari tahun ke tahun.
“Taman Negara (Pulau Pinang) juga semakin mendapat sambutan daripada pelancong tempatan dan antarabangsa sejak kebelakangan ini, namun banyak kemudahan di dalam kawasan taman masih belum diberi perhatian sewajarnya.
“(Dan) perlu lakukan sesuatu agar dapat memberi pengalaman yang lebih baik kepada pengunjung secara menyeluruh,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) atas kejayaan menyempurnakan projek tersebut.
“Usaha pembaikan jeti tersebut telah dimulakan sejak 2019 lagi, ketika itu saya menyandang jawatan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Namun, projek pembangunan ekopelancongan tersebut beberapa kali tertangguh sebelum ini akibat pandemik COVID-19 dan proses tender semula,” katanya sambil berharap ia akan memacukan lagi pertumbuhan sosioekonomi di kawasan tersebut.

Difahamkan, projek tersebut berjaya disiapkan dengan kos sebanyak RM5.56 juta.
Taman Negara Pulau Pinang kekal sebagai destinasi ekopelancongan penting di negeri ini kerana keindahan alam semula jadinya dan menjadi antara destinasi pilihan terutama kepada pengunjung yang mahu ke Pantai Kerachut, Rumah Api Muka Head atau ke pusat penyelidikan akuakultur, Pusat Kajian Marin dan Pantai (CEMACS).

Menurut hantaran di laman Facebook Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia pada 17 Julai lalu, jeti ini diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Negeri yang mana dikatakan kini masih dalam tempoh percubaan dan bakal dibuka kepada umum pada 1 September 2025.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : DARWINA MOHD. DAUD