Jimat air hadapi Super El Nino

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengeluarkan status amaran baru-baru ini (13 Januari), serta menggesa rakyat supaya cermat menggunakan air sepanjang tempoh fenomena Super El Nino di negeri ini, dijangka sehingga hujung bulan Mac depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa bagaimanapun berkata, Pulau Pinang dijangka mampu mengelak langkah catuan air jika keadaan kemarau pada kali ini adalah sama dengan fenomena yang pernah melanda negara pada tahun 2014.

“Empangan di negeri ini, kita (PBAPP) reka bentuk untuk menadah air selama 100 hari, jadi, sampai bulan April nanti kita (Pulau Pinang) boleh bertahan.

“Selalunya, hujan akan kembali turun pada hujung bulan Mac ini,” jelasnya pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo.

Sehingga 13 Januari 2016, Jaseni menjelaskan bahawa kapasiti air di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang berada dalam keadaan ‘sihat’, dengan masing-masing pada tahap 87.6 peratus dan 83.2 peratus.

“Empangan Mengkuang pula masih dalam proses pemajuan,” jelasnya.

Beliau memberitahu, paras air di Sungai Muda yang direkodkan setinggi 2.53 meter pada 13 Januari 2016 membolehkan proses menimba air ke Empangan Mengkuang seperti biasa.

Difahamkan, fenomena Super El Nino boleh mengakibatkan suhu melambung setinggi 40 darjah Celcius, sekarang. Manakala, insiden terakhir hujan pada 29 Disember tahun lalu mencatatkan taburan 31.0 milimeter air di Empangan Air Itam, Empangan Teluk Bahang (38 milimeter) dan Empangan Mengkuang (17 milimeter).

“Dua tahun lalu, semasa musim kemarau panjang pada bulan Januari, Februari dan Mac 2014 melanda negeri ini, jumlah taburan hujan hanya 83.0 milimeter di Empangan Air Itam, 70.0 milimeter di Empangan Teluk Bahang dan 115.0 meter di Empangan Mengkuang,” jelas Jaseni.