Nasrudin tarik semula artikel, bersetuju bayar RM10,000

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Ketua Penerangan Pas yang juga Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan at-Tantawi memberitahu Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 18 Januari lalu bahawa beliau ‘kesal’ membuat kenyataan tidak berasas dalam akaun Facebooknya terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Nasrudin memberitahu Pesuruhjaya Kehakiman Tuan Lim Chong Fong bahawa beliau ‘kesal’ memuatnaik artikel di akaun Facebooknya pada 6 Ogos 2014 yang bertajuk,

“Apa beza Kidex dan Terowong Pulau Pinang”.

“Setelah meneliti dokumen yang dikemukakan di mahkamah, saya kesal kerana artikel saya telah mencetus salah faham dan tidak mempunyai asas ke atas Ketua Menteri.

“(Oleh itu) kedua-dua pihak bersedia untuk tidak memanjangkan kes ini dan saya akan menarik balik artikel yang dibuat pada 6 Ogos 2014 yang tidak mempunyai asas terhadap Ketua Menteri,” kata Nasrudin di hadapan hakim di sini pada 18 Januari lalu.

Chong Fong kemudian memerintahkan kes itu ditarik balik dan mengarahkan defendan (Nasrudin) untuk membayar RM10,000 sebagai kos kepada plaintif (Guan Eng).

Nasrudin diwakili oleh Wan Rohimi Wan Daud manakala Guan Eng, Datuk N. Mureli.

Terdahulu, Guan Eng mengemukakan tindakan saman ke atas Nasrudin kerana mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap beliau berhubung terowong dasar laut melalui akaun Facebook yang bertajuk, “Apa beza Kidex dan Terowong Pulau Pinang”.

Sementara itu, dalam sidang media sejurus selepas prosiding, Guan Eng memberitahu pemberita bahawa Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan urus tadbir CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus), bersih dan mengamalkan sistem tender terbuka sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2008.