JKKK, jadilah pemimpin masyarakat – KM

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI & ZAINULFAQAR YAACOB

BAYAN LEPAS – Mutu 291 perkhidmatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di negeri ini wajar dipertingkatkan memandangkan Kerajaan Negeri pada tahun ini meluluskan sejumlah RM12,594,480, termasuk untuk kenaikan elaun Pengerusi, Setiausaha serta elaun kehadiran mesyuarat berwajib jawatankuasa berkenaan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng membuat gesaan sedemikian pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan JKKK Penggal 2015/2016 Bagi Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya di sini baru-baru ini.

“Jadilah pemimpin masyarakat yang mampu menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat di peringkat akar umbi. “Kerajaan Negeri mahu JKKK menjadi perantaraan antara kerajaan dengan rakyat dan sebaliknya,” tegas beliau pada majlis tersebut.

Tambah Guan Eng, JKKK juga seharusnya mencari jalan untuk mengupaya pergerakan Briged Wanita Pulau Pinang di kawasan masing-masing dengan melantik sekurang-kurangnya seorang wanita dalam jawatankuasa komuniti berkenaan.

“Kerajaan Negeri mengharapkan sekurang-kurangnya 15 wanita dilantik sebagai Pengerusi JKKK pada masa hadapan.

“Ini, bukan sahaja membuktikan kita memartabatkan wanita tetapi juga meyakini sifat kepimpinan yang dimiliki oleh mereka,” jelas Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dalam ucapannya mengingatkan kesemua JKKK yang dilantik supaya menyempurnakan kerja-kerja ‘profiling‘ data demografi serta kemudahan asas berwajib dalam masa 100 hari pertama ini demi memudahkan proses khidmat pelanggan kelak.

“JKKK bukan sahaja merupakan mata dan telinga Kerajaan Negeri, tetapi juga menjadi jentera penting dalam memastikan kelancaran pentadbiran,” katanya yang juga ADUN Pantai Jerejak.

Terdahulu, Guan Eng turut menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan JKKK bagi tiga daerah lain, iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya belajar daripada kelemahan Kerajaan Pusat melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memulihkan semula Kelantan pasca bencana ‘bah merah’ barubaru ini.

“Kita harus tegas menegur sama ada (Kerajaan) Persekutuan atau (Kerajaan) Negeri yang ada kelemahan dalam menguruskan bencana tersebut.

“Ini termasuk peringkat JKKK dalam menyelesaikan masalah bencana dengan lebih cepat dan berkesan,” ujar Anwar yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan JKKK Peringkat Seberang Perai.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Dato’ Mohd. Salleh Man, ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon dan Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Amir Md. Ghazali.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);