Perkhidmatan pembersihan bawah PBT cakna kebersihan Seberang Perai

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI  

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dilihat cakna akan nasib rakyat tempatan apabila sanggup membelanjakan lebih peruntukan bagi memastikan kebersihan di Seberang Perai bertambah baik saban tahun.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, ketika perkhidmatan pembersihan MPSP diswastakan sebelum ini iaitu pada 2011, peruntukan pembersihan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan adalah berjumlah kira-kira RM59 juta setahun membabitkan hampir keseluruhan tenaga kerja adalah warga asing.

“Namun, bermula 1 Julai 2014 iaitu apabila perkhidmatan pembersihan diletakkan di bawah MPSP dengan peruntukan berjumlah RM88 juta, jumlah tenaga kerja adalah 100 peratus membabitkan warga tempatan.

“Sungguhpun pendekatan tersebut meningkatkan kos 50 peratus dari RM59 juta kepada RM88 juta bagi tahun 2015, ia adalah berbaloi dinilai pada aspek kualiti. Pada masa sama, ia juga menangkis tanggapan bahawa rakyat tempatan adalah ‘malas’ dan enggan bekerja dalam perkhidmatan Dirty, Dangerous and Difficult (3D),” ujarnya pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis bagi MPSP Penggal 2015 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd Rashid Hasnon, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Exco-exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Yang diPertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif dan Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud.

Pada majlis tersebut, seramai 24 Ahli Majlis MPSP mengangkat sumpah bagi penggal 2015 dengan menampilkan enam muka baru.

Menurut Guan Eng, daripada jumlah RM88 juta, beberapa peralatan turut ditambah antaranya, lori kompaktor, tong sampah, lori tipper, road sweeper dan lainlain.

“Sebagai tambahan, antara perbelanjaan lain yang diperuntukan MPSP dalam usaha menambahbaik Seberang Perai adalah meliputi peruntukan untuk projek tebatan banjir berjumlah RM8.09 juta, sistem lalulintas dan jalan raya (RM16.61 juta), kemudahan awam dan infrastruktur (RM15.12 juta), pengindahan dan kehijauan (RM4.08 juta), perundangan (RM3.01 juta), program komuniti dan mesra alam (RM2.33 juta),” jelas beliau.

Sementara itu, Ahli Majlis baru dilantik, Siti Nur Shazreen Mohd. Jilani memberitahu, beliau berhasrat membantu peniaga-peniaga khususnya golongan wanita di sini.

“Pada masa sama, aspek pembersihan turut akan dipertingkatkan,” jelas Siti Nur Shazreen kepada Buletin Mutiara selepas selesai acara angkat sumpah Ahli Majlis MPSP di sini.

Hasrat sama dilahirkan Amir Md. Ghazali yang menyifatkan lantikan beliau merupakan suatu tanggungjawab yang harus dipikul dalam menambahbaik MPSP.

“Kita akan usaha memantapkan pembaharuan dalam MPSP, selain itu, kita akan kaji keperluan yang perlu dilaksanakan, contohnya menilai semula apa yang telah dilakukan oleh ahli majlis sebelum ini.

“Juga, aspek pembersihan turut akan cuba dipertingkatkan di kawasan bandar mahupun luar bandar.” ujar beliau.

Bekas ahli majlis, Rezal Huzairi Md. Zaki, mengucapkan tahniah kepada lantikan-lantikan baru sambil berharap kumpulan berkaitan dapat meneruskan kesinambungan MPSP dalam melaksanakan dasar 2015 MPSP.

Serentak majlis berkenaan, Guan Eng turut menyempurnakan Majlis Pelancaran Fokus 2015 dan Kepala Surat Baru MPSP.

Sembilan fokus baru MPSP adalah meliputi aspek kebersihan, keselamatan serta lalulintas, penguatkuasaan undang-undang, kawalan banjir, pengindahan, kehijauan serta kemudahan awam, penglibatan komuniti, pembinaan kapasiti, pengukuhan fiskal dan kecekapan proses kerja.

} else {