BATU LANCANG – Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) menitikberatkan soal kelestarian alam sekitar sejak awal pembinaan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Menurut Ketua Penyelenggaraan JKSB, Ir. Yulinar Ismail, JKSB senantiasa mematuhi Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) oleh pihak berkuasa agar pembinaan jambatan tersebut tidak merosakkan alam sekitar.
“Hasil pemantauan rapi dan pematuhan EIA, selepas siap jambatan tersebut kita mendapati hidupan laut tidak berkurang bahkan berkembang dengan baik.
“Ini merupakan maklumbalas daripada penduduk dan komuniti setempat terutamanya nelayan, spesies ikan bertambah.
“Antara spesies baru yang dikenal pasti ialah tiram batu yang berkualiti telah mula wujud di Jambatan Kedua, termasuk spesies ikan laut dalam,” ujarnya pada Program Kesedaran Perniagaan dan Perlindungan Haiwan Serta Sumbangan Bantuan Keperluan Kepada Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SPCA) dekat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelutong di sini pagi tadi.
Tambah beliau, spesies ikan lumba-lumba juga kelihatan sekitar Jambatan Kedua hampir setiap hari.

Hadir sama, Pengurus Komunikasi Korporat JKSB, Hani Sophia Hilmi; Penolong Kanan I SMK Jelutong, Suhaili Azlin dan Pentadbir SPCA, Lily Leng.
Pada majlis tersebut, JKSB menyampaikan cek replika simbolik kepada sumbangan barangan-barangan keperluan kepada SPCA.
Lily Leng dalam pada itu, menyeru orang ramai yang prihatin memberi makanan kepada haiwan terbiar untuk menjalankan pemandulan haiwan terbabit.

“Mengambil contoh kucing, kalau tidak dimandulkan ia boleh beranak hingga 20 ekor setahun dan ini akan menambahkan lagi populasi haiwan terbiar.
“Jadi memandulkan haiwan tersebut merupakan jalan terbaik mengawal populasi haiwan terbiar daripada terdedah kepada penganiayaan haiwan dan sebagainya,” katanya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN