Jom hangatkan The Path of Hot Balloon Fiesta!

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

PELANCARAN The Path of Hot Balloon Fiesta 2018 masingmasing di Padang Kota Lama dan Butterworth Art Walk adalah sebagai salah satu promosi bagi menghangatkan sambutan Fiesta Belon Udara Panas 2018 yang bakal berlangsung pada 24 dan 25 Februari ini.

Ketua Menteri, Y. A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa penganjuran tiga tahun berturut-turut berkaitan juga adalah bersempena pakej istimewa cuti sambutan Tahun Baru Cina 2018 yang jatuh pada 16 dan 17 Februari 2018.

“Fiesta ini bakal menjadi satu-satunya fiesta belon udara panas di Malaysia, Putrajaya pun sudah ‘give up’ anjurkan, dan ini menjadikan Pulau Pinang satusatunya negeri yang mengambil inisiatif menganjurkan ia.

“Pada penganjuran fiesta 2018, sebanyak 15 belon panas dari dalam dan luar negara bakal mengambil tempat di Padang Polo bermula dari 7 pagi hingga 9:30 malam,” umumnya pada Majlis Perasmian The Path of Hot Balloon Fiesta 2018 di Esplanade di sini 21 Disember lalu.

Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Dato’ Maimunah Mohd. Sharif; Setiausaha Bandaraya MBPP, Ar. Yew Tung Seang; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism (PGT), Ooi Chok Yan dan Ketua Pegawai Eksekutif AKA Balloons Sdn. Bhd., Nur Izzati Khairudin.

The Path of Hot Balloon Fiesta 2018 di Padang Kota Lama mempamerkan 700 belon udara panas mini hasil seni kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah.

Ia digantung menyinari ruang udara Esplanade dan menarik setiap mata yang memandang terutamanya pada waktu malam.

Landskap tersebut pastinya tidak dilepaskan pengunjung dan seisi keluarga untuk berswafoto bagi dijadikan kenangan bersama.

Di Butterworth Art Walk, Seberang Perai berhampiran Padang Pemuda Merdeka juga tidak kurang uniknya. Sebanyak 400 belon udara panas mini digantung di laluan sepanjang 200 meter (Lorong Bagan Luar 1) di sini.

Tambah menarik adalah lukisan-lukisan mural yang terdapat di kiri dan kanan.

Bermula 21 Disember 2017 hingga 21 Mac ini, belon udara panas mini di kedua-dua lokasi berkaitan dinyalakan bermula dari jam 7:30 malam hingga jam 12 tengah malam setiap hari khas untuk semua.

Jom, jangan lepaskan peluang keemasan ini!