Penduduk terlibat banjir dirai, terima sumbangan khas

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

PENANTI – Kemampuan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) menguruskan situasi pasca banjir ekoran bencana terburuk dalam sejarah negeri membuktikan bahawa pentadbiran ini mampu mentadbir Pulau Pinang dengan baik, ujar Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

“Kerajaan Negeri melalui program ‘Pulau Pinang Bangkit’, kita bagi RM700 secara one-off kepada setiap ketua keluarga dan untuk Permatang Pauh, ianya membabitkan 6,000 penerima, malah bagi seluruh negeri adalah melibatkan hampir 50,000 penerima.

“Ini merupakan sumbangan terbesar dalam negara, tidak ada sejarah mana-mana Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Pusat yang bagi bantuan besar macam ini (RM700).

“Saya tanya rakan-rakan di Kelantan dan Johor yang terkesan banjir sebelum ini, mereka cuma dapat RM500 sahaja daripada Kerajaan Pusat,” ucapnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada Majlis Sumbangan Khas Asnaf Banjir Parlimen Permatang Pauh di sini 27 Disember lalu. Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar turut hadir menyantuni para penerima.

Pada majlis tersebut, penduduk yang terlibat banjir diraikan serta turut menerima sumbangan khas daripada Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM430,000.

Bagi Pengerusi Surau Bukit Indera Muda, MOHD. RADZI MOHD. NOOR, 63, sumbangan yang diterima bagi membaik pulih surau kawasannya adalah amat bermakna.

“Kita bersyukur kerana Kerajaan Negeri pun dah bagi hari tu, kali ini Kerajaan Negeri Selangor turut beri sumbangan.

Dengan sumbangan-sumbangan ini, kita boleh fikirkan mengenai (usaha) naik taraf surau untuk keselesaan para jemaah,’’ katanya kepada Buletin Mutiara pada majlis berkaitan.

“Syukurlah dua-dua Kerajaan Negeri (Selangor dan Pulau Pinang) bantu kita di sini, walaupun tidak mungkin dapat
ganti barangan yang rosak, tetapi mereka prihatin akan nasib kita.

“Baru-baru ini, banyaklah perabot mak cik yang rosak, tenggelam sampai paras lutut, kalau di luar tu sampai paras pinggang,” ujar SITI BERTIMO IBRAHIM, 60, yang menetap di Kampung Tanjung Putus di sini.