Jom menyumbang! Penang Lions Club sasar 200 unit peralatan digital terpakai kepada pelajar kurang berkemampuan

GEORGE TOWN – 25 Chapters Penang Lions Club hari ini memberikan komitmennya menyokong Program Komputer E-Pembelajaran Pulau Pinang bagi mengumpulkan sekurang-kurangnya 200 unit peralatan digital terpakai untuk disumbangkan kepada pelajar kurang berkemampuan.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng ketika mengalu-alukan niat murni tersebut berkata bahawa kolaborasi semua pihak dalam menjayakan program berkenaan akan merapatkan ketidaksamaan jurang digital dengan pelajar daripada kumpulan isi rumah B40.

“Ketika pelancaran program ini pada 27 Julai lalu, kita hanya mendapat sokong daripada Intel dan Dell, di mana setakat ini mereka telah pun berjaya mengumpulkan 16 peranti dan membantu untuk membaiki 55 set sistem.

“Dengan kolaborasi sektor swasta, agensi kerajaan dan kini badan bukan kerajaan (NGO), saya percaya jurang di antara ketidaksamaan digital akan diperkecilkan.

“Mereka (Penang Lions Club) menyasar untuk mengumpulkan sekurang-kurangnya 200 unit komputer terpakai yang akan dikumpulkan mulai hari ini sehingga 26 September nanti, walaupun ia agak mencabar namun saya mempunyai kenyakinan terhadap 25 Chapters Penang Lion Club,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Hadir sama Pengerusi E-Refurbishing to E-Learning Programme, SK Chong; Ngoo Seong Boon (Timbalan Pengerusi Program) dan Datuk Yeoh Moh Chai (Penang Lions Club District Governer 308-B2).

E-Refurbishing to E-Learning Programme adalah pengembangan lanjutan daripada Program Komputer E-Pembelajaran Pulau Pinang untuk memastikan kesinambungan bekalan komputer terpakai dapat disumbangkan kepada pelajar yang memerlukan selain daripada mencegah pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada pembuangan e-waste yang tidak betul.

Menurut Chong, komputer yang telah dikumpul akan diasingkan dan kemudiannya diserahkan kepada pelajar yang memerlukan secara percuma setelah ia diperbaiki.

“Sementara komputer usang atau rosak akan dihantar ke tempat pembuangan sampah tertentu mengikut prosedur.

“Kita mengalu-alukan kepada mereka yang ingin menyumbangkan dengan mengimbas kod bar dan kemudiannya mengisi maklumat peribadi anda,” ujarnya.

Untuk PC atau laptop hanya Windows 7 dan ke atas sahaja yang diterima, manakala tablet dan telefon pintar mestilah mempunyai sokongan perisian seperti Zoom dan WebEx.

Jom menyumbang!

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG