Norma baharu buka lebih banyak peluang perniagaan digital

Admin

PERAI – Penularan pandemik COVID-19 yang menuntut pembudayaan norma baharu dalam kehidupan masyarakat di seluruh dunia telah membuka lebih banyak peluang perniagaan secara digital.

Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata, pemasaran digital merupakan salah satu cara berkesan untuk meluaskan pasaran perniagaan pada masa ini.

“Peniaga tidak boleh lagi hanya menunggu pelanggan datang ke premis perniagaan mereka kerana dalam keadaan sekarang masyarakat berada dalam ketakutan akibat penularan wabak COVID-19.

Salah seorang peniaga menunjukkan produk produk jualan yang dihasilkan.

“Justeru, pergerakan yang terhad ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini memberi pilihan kepada pengguna untuk beralih kepada membeli-belah secara dalam talian berbanding amalan tradisional sebelum ini.

“Oleh sebab itu, pada seminar kali ini kita dapati bahawa ada peniaga yang menjalankan perniagaan secara online sahaja mampu mencapai jualan sehingga RM300,000 sebulan.

“Mereka ini yang kita mahu kenal pasti dan bimbing mereka untuk mencapai tahap yang lebih tinggi berbanding apa yang mereka ada hari ini,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas merasmikan program Kecoh COVID-19 Jom Go Online dekat sini, 23 Ogos 2020.

Abdul Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung memberitahu bahawa sehingga kini seramai 1,600 usahawan telah mendapat manfaat daripada pelbagai program dan seminar berkaitan perniagaan digital yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri.

“Daripada jumlah ini, 80 peratus usahawan adalah terdiri daripada orang muda dan 70 peratus adalah golongan wanita.

“Mereka ini telah memanfaatkan ilmu yang diperoleh daripada pelbagai program yang kita jalankan untuk meneruskan kelangsungan perniagaan semasa pelaksanaan PKP ini,” ujarnya lagi.

Abdul Halim meneliti salah satu produk yang dijual sempena penganjuran seminar berkaitan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan RM40 juta di bawah Skim Peka PKS khas kepada usahawan-usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negeri ini.

“Skim Peka IKS dan PKS sebanyak RM30 juta sudah habis diagihkan manakala bagi sektor pelancongan pula masih berbaki kira-kira RM6 juta lagi untuk dibuka kepada pemohon.

“Justeru, bagi mereka yang menjalankan perniagaan berkaitan pelancongan seperti spa dan sebagainya masih boleh memohon peruntukan ini melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk meneruskan perniagaan mereka.

“Kerajaan Negeri juga masih meneruskan Skim Pinjaman Harapan (SPH) yang menawarkan pinjaman berjumlah RM3,000 hingga RM10,000 tanpa bayaran faedah bagi tahun pertama khusus untuk usahawan kecil di negeri ini,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD