GEORGE TOWN – Orang ramai khususnya golongan beliau dipelawa memeriahkan sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang pada 17 hingga 18 Mei ini dekat Hin Bus Depot, Jalan Gurdwara.
Menurut Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, HBN adalah satu penghargaan kepada golongan belia yang menjadi tulang belakang pembangunan negara dan negeri.
“Tema sambutan tahun ini, YAKIN BOLEH dikekalkan sebagai lambang semangat anak muda yang berani mencabar diri dan yakin menghadapi pelbagai cabaran mendatang.
“Tema ini selari dengan hala tuju Dasar Belia Malaysia serta pelaksanaan penurunan had umur belia kepada bawah 30 tahun mulai tahun 2026.
“Untuk makluman semua, pengisian program tahun ini sangat menyeluruh dan berkonsepkan festival belia yang dinamik dan interaktif.
“Kita tampilkan sebanyak 13 segmen dan pavilion utama seperti Port Jana Duit (karnival kerjaya); Port Gaming (pertandingan e-sukan); Port Seni, Port Healing, Pavilion Rakan Muda; dan juga Port Fit Malaysia (aktiviti kecergasan serta gaya hidup sihat),” ujarnya dalam satu sidang media di Komtar tengah hari tadi.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Mozakir Buyong Mokhtar; Pengurusan Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Lum Chia How dan Pengerusi Majlis Belia Pulau Pinang, Tan Chor Lim.
Mengulas lanjut, Zi Sen memberitahu bahawa semua acara disusun bagi memenuhi cita rasa dan keperluan belia pelbagai latar belakang.
“Tahun ini kita tampilkan kelainan dari segi lokasi yang mana kita tahu Hin Bus Stop adalah lokasi golongan belia suka berkunjung dengan pelbagai acara menarik kerap diadakan di situ.
“Pada 17 Mei HBN juga akan menganjurkan acara Fun Walk jam 7 pagi, bermula dari Hin Bus Stop melalui Jalan Datuk Keramat, jadi orang ramai yang akan melalui kawasan tersebut diharap merancang perjalanan.
“Saya percaya, HBN 2025 akan memberi impak yang besar bukan sahaja kepada pembangunan belia, malah turut menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi setempat selain pengukuhan nilai patriotisme serta kepimpinan dalam kalangan anak muda kita,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI