‘Jom Pi Pesta!’, sorotan eksklusif gempita Pesta Pulau Pinang

collage 2025 12 06 12 31 21(1)

PESTA Pulau Pinang merupakan acara tahunan yang menjadi identiti dan lambang kebanggaan negeri ini sejak sekian lama. Dikenali sebagai pesta rakyat terbesar di bahagian utara Semenanjung, ia menawarkan gabungan sinergi antara warisan tradisi dengan kemeriahan hiburan moden yang memukau.

 

 

Tahun ini, Pesta Pulau Pinang kembali membuka tirainya dari 6 Disember 2025 sehingga 10 Januari 2026, menyambut pengunjung setiap hari bermula jam 6.00 petang sehingga 11.00 malam.

 

 

Bagi menyelami lebih mendalam aspirasi serta persiapan logistik di sebalik penganjuran acara berskala besar ini, wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI bersama-sama jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD berkesempatan menemu bual Ketua Penolong Pegawai Kewangan Negeri (Belanjawan), DR. KHAIRUSANY MOHAMED YUSOF, untuk mendapatkan pandangan eksklusif.

 

 

Sejak penganjuran sulungnya pada tahun 1966, Pesta Pulau Pinang telah melakar sejarah, bertransformasi daripada acara yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat sehinggalah menjadi acara pelancongan tahunan yang berimpak tinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri ini dalam kalendar pelancongan negara.

 

 

Pesta Pulau Pinang kini lebih meluas, bukan sahaja penduduk tempatan malahan menarik kedatangan pengunjung berbilang bangsa dari dalam negeri mahupun luar negara.

 

 

“Bagi edisi ke-59, Jawatankuasa Infrastruktur, Landskap dan Keceriaan Pesta Pulau Pinang mengambil pendekatan dengan mengekalkan konsep pencahayaan bagi menambah kemeriahan dan mencipta suasana yang menarik kepada pengunjung.

 

 

“Selain itu, pihak jawatankuasa juga memperkenal ruangan ‘OOTD’ berkonsepkan ‘Magazine’ di kawasan patio berhadapan pintu utama.

 

 

“Selain itu, lebih banyak kiosk foto (photo booth) dan sudut bergambar diwujudkan kali ini bagi memberikan pengalaman baharu kepada pengunjung untuk merakam momen terbaik di tapak ikonik tersebut,” katanya.

 

img 20251206 wa0000
DR. Khairusany Mohamed Yusof.

 

Sepanjang 36 hari penganjuran Pesta Pulau Pinang, Khairusany memaklumkan bahawa pelbagai acara disajikan kepada pengunjung.

 

 

“Mengambil kira penganjuran Pesta Pulau Pinang bakal ditangguhkan selama enam tahun selepas ini, pihak jawatankuasa menganjurkan acara Fun Walk Pesta Pulau Pinang sejauh 3.1 kilometer yang berlangsung pada 29 November lalu.

 

 

“Acara ini berjaya menarik hampir 1,500 peserta dari dalam dan luar Pulau Pinang, melebihi sasaran kita (jawatankuasa) iaitu antara 1,000 hingga 1,200 peserta.

 

 

“(Dan) ini juga merupakan salah satu kelainan kerana edisi sebelum ini, kita tidak pernah mengadakan apa-apa aktiviti pra-penganjuran,” jelasnya.

 

 

Legasi Mutiara, jejak sejarah pesta

 

Dalam pada itu, Khairusany menambah bahawa pada penganjuran kali ini, pengunjung dapat menelusuri sejarah Pesta Pulau Pinang sejak awal penganjuran sehingga kini melalui Pameran Legasi Mutiara di ‘Pesta Shop’.

 

 

“Pihak jawatankuasa bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Pulau Pinang mewujudkan ruangan zon masa, membolehkan pengunjung melihat sendiri revolusi pesta.

 

 

Kita pamerkan keratan-keratan akhbar, brosur-brosur lama dan tiket Pesta Pulau Pinang dahulu dari mula penganjurannya.

 

 

“Selain itu, ramai yang tahu apabila kita sebut Pesta Pulau Pinang, pasti terbayang kerana dekorasi lampu yang terang, berwarna-warni dan menarik, tahun ini kita menampilkan kombinasi warna ungu.

 

 

“Dari segi konsep hiasan pula, kita gabungkan tradisi dan moden bagi mengekalkan nilai sentimental bagi setiap generasi pengunjung,” katanya.

 

 

Kereta api mini, ‘Air Force’ dari Itali

 

Menariknya penganjuran kali ini, pihak jawatankuasa juga memperkenal ‘kereta api mini’ mengelilingi sebahagian kawasan Pesta Pulau Pinang.

 

 

“Kereta api ini khusus untuk kanak-kanak dan keluarga yang mana ia akan mengelilingi sebahagian kawasan tidak termasuk taman hiburan.

 

 

Malah, di taman hiburan juga tidak kurang hebat tarikannya kerana buat julung kali kita memperkenal permainan dikenali sebagai ‘Air Force’ dari Itali khusus untuk mereka yang ingin menguji adrenalin.

 

 

“Kita juga mempunyai 17 alat permainan separa ekstrem dan 18 alat permainan lain yang khusus untuk seisi keluarga,” ujarnya yang menyasarkan antara 400,000 hingga 500,000 pengunjung kali ini berbanding rekod sebelum ini seramai 350,000 pengunjung.

 

fb img 1764997703374
ANTARA permainan yang terdapat di Pesta Pulau Pinang menanti pengunjung.

 

Dari segi keselamatan, Khairusany memberitahu bahawa semua alatan permainan yang terdapat di Pesta Pulau Pinang melalui pemeriksaan disyaratkan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

 

 

Harga tiket

 

Bercakap mengenai harga tiket, Khairusany menjelaskan bahawa tahun ini pihaknya memperkenal tiket untuk pengunjung bukan warganegara berdasarkan rekod kemasukan edisi sebelum ini.

 

 

“Harga tiket bagi warganegara dewasa dan warga emas adalah RM5 dan bukan warganegara pula adalah RM10.

 

 

“Kanak-kanak bawah usia 12 tahun dan orang kurang upaya (OKU) tidak dikenakan caj masuk,” katanya sambil memberitahu tema penganjuran tahun ini – ‘Jom Pi Pesta!’.

 

 

Difahamkan bahawa pengunjung juga berpeluang melihat pertunjukan bunga api pada hari perasmian yang akan disempurnakan oleh Yang Di-Pertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib dan isteri serta bakal dihadiri oleh barisan pimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 

 

Sungai Nibong bukan tapak asal

 

Jika dilihat tentang sejarah penganjuran Pesta Pulau Pinang pula, Khairusany memberitahu bahawa tapak sekarang di Sungai Nibong bukanlah tapak asal kerana sebelum ini pernah diadakan di Esplanade (Padang Kota).

 

 

“Oleh itu, jika Kerajaan Negeri berpendapat untuk memindahkan lokasi penganjuran Pesta Pulau Pinang ke lokasi baharu, maka ia akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

 

 

Beliau berkata demikian sebagai respons sama ada penganjuran Pesta Pulau Pinang akan berpindah ke lokasi baharu atau tidak kerana sebahagian kawasan tersebut terlibat dalam pembangunan Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara.

 

 

Mengulas lanjut, Khairusany memaklumkan bahawa banyak perkara yang perlu diperhalusi sebelum memberi kata muktamad, termasuk kemudahan pengangkutan, parkir serta keselesaan pengunjung.

 

 

“Sekiranya pemilihan tapak baharu tidak mengambil kira semua aspek ini, ia akan memberikan impak yang negatif dan lebih teruk lagi akan menjejaskan imej Kerajaan Negeri.

 

 

“Seperti kita semua sedia maklum, aliran trafik di Pulau Pinang semakin hari semakin bertambah sibuk, maka kita tidak mahu menambahkan ‘beban’ trafik di tempat baharu yang akan menjejaskan keselesaan penduduk setempat serta pengunjung secara khususnya,” jelasnya.

 

 

Tambahnya lagi, sekiranya Kerajaan Negeri merancang untuk mengekalkan penganjuran Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong, maka perlu menunggu sehingga selesai pembinaan jajaran LRT.

 

 

Pada Januari lalu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa penganjuran Pesta Pulau Pinang tahun ini dijangka menjadi edisi terakhir yang diadakan di Tapak Pesta Sungai Nibong.

 

 

Sebagai memetik, Kon Yeow menjelaskan bahawa penangguhan itu diperlukan kerana kawasan tersebut termasuk dalam pelan pembangunan projek LRT Laluan Mutiara.

 

 

“Walaupun ini menandakan kemajuan ke arah sebuah Pulau Pinang yang lebih maju dan efisien, semangat dan matlamat Pesta Pulau Pinang akan tetap tidak berubah, intipati pesta sebagai satu perayaan untuk rakyat Pulau Pinang tidak akan pudar,” katanya.

 

Berikut adalah senarai program sepanjang 36 hari penganjuran Pesta Pulau Pinang:

fb img 1764995367545(1)fb img 1764995367545(2)

fb img 1764995367545(3)

whatsapp image 2025 12 06 at 13.15.34