Jual tanah bukan tampung keperluan kewangan negeri sahaja, Ketua Menteri sanggah pembangkang

Admin
02a58976 892f 426e a09c fcdb6ceeaa93

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyanggah tanggapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah yang menyatakan Kerajaan Negeri menjual tanah untuk menampung keperluan kewangan semasa.

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menjelaskan bahawa menerusi penjualan tanah, Kerajaan Negeri memperoleh hasil, memacu pembangunan, menjana peluang pekerjaaan dan menambah nilai ekonomi kepada kawasan setempat.

“Secara teknikal, Kerajaan Negeri tidak menjual tanah, sebaliknya pelupusan tanah kerajaan dilaksanakan melalui kaedah pemberimilikan, pajakan atau pajakan lain yang dibenarkan di bawah peruntukan Kanun Tanah Negara 1965.

“Oleh itu, istilah ‘penjualan tanah’ tidak diguna pakai dalam konteks pentadbiran tanah Kerajaan Negeri,” jelasnya dalam Sesi Ucapan Penggulungan Exco sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 22 Mei 2025.

Untuk urusan pelupusan tanah pula, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan mengambil nilaian tanah semasa berdasarkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

“Sekiranya tanah tersebut melibatkan projek strategik termasuk pembinaan rumah, maka Kerajaan Negeri akan menggunakan pendekatan Request for Proposal (RFP) dalam melupuskan tanah tersebut.

“Ini bagi membolehkan Kerajaan Negeri memperoleh hasil premium yang lebih tinggi daripada nilaian tanah semasa,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Tambah beliau, kaedah pelupusan tanah berkaitan tidak mengurangkan pegangan negeri atau semata-mata untuk meningkatkan hasil Kerajaan Negeri kerana tanah tersebut digunakan untuk pembangunan dan meningkatkan sosioekonomi kawasan tersebut.

“Sekiranya mengambil pendekatan untuk tidak memajukan tanah tersebut, maka ini akan menjadi satu bebanan kepada Kerajaan Negeri untuk mengeluarkan kos bagi tujuan penyelenggaraan dan rakyat tidak dapat menikmati kemudahan daripada pembangunan tapak tersebut,” ulasnya lanjut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS