KADUN Datuk Keramat isytihar ‘perang’ denggi

Admin

DATUK KERAMAT – Lebih 100 penduduk sekitar Jalan York, Taman Nusantara dan Kebun Lama di sini hadir bagi menjayakan penganjuran program gotong-royong sebagai inisiatif mengawal serta mencegah wabak denggi.

Program yang berlangsung kira-kira dua jam bermula jam 8.30 pagi itu adalah anjuran khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat.

Jagdeep ketika ditemui selepas sesi gotong-royong menyatakan kebimbangannya terhadap peningkatan kes denggi, khususnya di KADUN (Kawasan Dewan Undangan Negeri) Datuk Keramat.

“Lanjutan itu, kami mengambil inisiatif khas menjalankan program gotong-royong secara besarbesaran bagi membersihkan kawasan kejiranan dan persekitaran. “KADUN Datuk Keramat mengisytiharkan ‘perang’ terhadap denggi dan saya menggesa semua rakyat Pulau Pinang untuk turut berbuat demikian.

“Semua penduduk perlu memastikan dan mengekalkan persekitaran yang bersih untuk mengelak wabak denggi. Yang penting adalah kesedaran kita dalam menjaga kebersihan rumah mahupun kejiranan tempat tinggal,” katanya yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan di sini baru-baru ini.

Sebanyak 19 kes denggi dilaporkan membabitkan KADUN Datuk Keramat dalam tempoh 6 April hingga 3 Mei lalu.