Kaji hidrologi bakal dilaksana di Air Putih Balik Pulau – Exco

Admin
9403c13b ebeb 4bbb a9a9 d21450f3ffef

GEORGE TOWN – Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari, memaklumkan bahawa punca utama kejadian banjir kilat di Air Putih, Balik Pulau baru-baru ini adalah disebabkan hujan lebat berlarutan serta fenomena air pasang besar yang menyebabkan sistem perparitan tidak dapat menampung kapasiti aliran air.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga berkata, setakat ini tiada kajian audit teknikal sistem perparitan khusus yang pernah dilaksanakan di kawasan tersebut.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang (JPSPP) akan meneliti keperluan untuk melaksanakan kajian hidrologi dan topografi bagi merancang sistem saliran yang lebih menyeluruh di kawasan itu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini sebentar tadi.

Zairil menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri melalui JPSPP turut menyediakan peruntukan tahunan bagi melaksanakan kerja-kerja pengorekan dan pembersihan kolam takungan Taman Manggis, yang terletak berhampiran simpang tiga Air Putih, untuk memastikan kapasiti air larian dari kawasan tersebut dapat disalurkan dengan lebih cekap ke sistem perparitan Air Putih.

c2adb920 2784 49c4 bd28 da1c77748cfdSelain itu, beliau memberitahu bahawa kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan turut dilaksanakan di sungai-sungai berhampiran iaitu Sungai Pak Long Konkrit dan Sungai Bagan Air Itam bagi melancarkan aliran air serta mengurangkan risiko banjir kilat.

“Namun demikian, penyelenggaraan Sungai Air Putih tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana sebahagian besar laluan sungai tersebut berada dalam kawasan tanah persendirian.

“Tiada laluan atau akses yang sesuai, sekali gus menyukarkan pergerakan jentera bagi menjalankan kerja-kerja pengorekan dan penyelenggaraan di kawasan itu,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Pulau Betong, Mohamad Shukor Zakariah.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT